Agenda Keterjaminan Makanan Terus Diperkukuh Menerusi Belanjawan 2023 – Mat Sabu

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyambut baik Belanjawan MADANI 2023 yang telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya di atas keprihatinan terhadap sektor pertanian.

Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (Mat Sabu) berkata belanjawan yang dibentangkan diyakini dapat mendepani cabaran-cabaran sektor agromakanan antaranya pengeluaran, bekalan dan pemasaran makanan.

“Secara keseluruhannya, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5.39 bilion kepada KPKM bagi tahun ini iaitu kenaikan sebanyak 12.06% berbanding RM4.81 bilion pada tahun 2022.

“Peningkatan ini membuktikan keprihatinan Kerajaan dalam memacu sektor agromakanan sebagai sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.

“Selaras dengan agenda keterjaminan makanan, pemberian subsidi dan insentif bagi industri padi dan beras berjumlah RM1.6 bilion diperuntukkan dengan tambahan RM228 juta sumbangan tunai kepada pesawah serta perkongsian 30% keuntungan bersih import beras kepada pesawah oleh BERNAS.

“Ini akan dapat membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup pesawah,” katanya, menerusi kenyataan media kelmarin.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata penggunaan automasi dan pendigitalan dalam sektor pertanian menyumbang kepada peningkatan kualiti pengeluaran dan produktiviti tenaga kerja.

“Sehubungan ini, inisiatif melalui dana Skim Pembiayaan Agrofood, program Digital AgTech, Elaun Modal Dipercepatkan dan pengecualian cukai pendapatan 100% ke atas perbelanjaan modal telah ditekankan untuk memperluas dan memperkasa penerimagunaan teknologi moden.

“Kolaborasi oleh semua pihak berkepentingan adalah diperlukan bagi menjamin ekosistem agromakanan yang mampan.

“Saya menyambut baik agenda keterjaminan makanan merentas kementerian dan kerajaan negeri serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dinyatakan dalam belanjawan ini.

“Inisiatif-inisiatif yang diumumkan adalah penanaman jagung bijian, Jualan Rahmah, platform Cloud Kitchen dan program Kebun Komuniti bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat. Kerajaan turut menggalakkan pelaburan swasta berskala besar berasaskan pertanian bagi meningkatkan pengeluaran makanan.

“Sebagai peneraju dalam agenda keterjaminan makanan negara, KPKM komited melaksanakan inisiatif-inisiatif Belanjawan 2023 secara cekap dan berhemat demi kesejahteraan rakyat.

“Saya yakin inisiatif Belanjawan MADANI akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi selari dengan objektif dan sasaran di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0),” katanya.

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat