Pengguna Perlu Bijak Pilih Kedai, Restoran Harga Lebih Murah – Rafizi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Pengguna harus peka dengan kenaikan harga makanan dan minuman yang dibeli dan bijak memilih kedai dan restoran yang menawarkan harga yang lebih baik berbanding pesaing-pesaing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Rafizi Ramli menyambut baik pandangan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan mengenai peranan yang perlu dimainkan oleh kerajaan, peniaga dan pengguna dalam menangani kenaikan harga makanan dan minuman yang dinyatakan di dalam program Dialog Tiga Penjuru Awani, semalam.

“Pandangan Jawahar adalah selari dengan pandangan Kerajaan supaya pengguna peka kepada kenaikan harga makanan dan minuman yang dibeli dan bijak memilih kedai dan restoran yang menawarkan harga yang lebih baik berbanding pesaing-pesaing.

“Usaha mengekang inflasi memerlukan semua pihak menggembleng usaha bersama,” kata Rafizi dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, ujar beliau sementara kerajaan meningkatkan akses pengguna kepada maklumat harga yang boleh membantu pengguna membeli dari kedai yang harganya lebih seiring dengan harga purata setempat.

“Saya juga sedia maklum beberapa cabaran pengusaha restoran yang berdepan dengan kenaikan kos lain, seperti kos pekerja akibat pelaksanaan gaji minimum RM1,500.

“Ada beberapa langkah yang sedang diperhalusi pelaksanaannya untuk membantu peniaga dan pengusaha restoran menangani kenaikan- kenaikan yang mereka tanggung, termasuklah potensi menyebarluas model tenaga kerja sambilan (gig workforce) dalam sektor restoran dan kedai makan (F&B).

“Ia adalah sebahagian dari usaha untuk menyelaraskan pasaran kerja dengan tuntutan sektor ekonomi, yang menjadi sebahagian dari usaha menyeluruh menstrukturkan kembali ekonomi negara.

“Dalam masa terdekat ini, saya akan bertemu dengan wakil-wakil pengusaha restoran dan peniaga makanan untuk membincangkan secara dua hala langkah-langkah yang boleh diambil bersama oleh kerajaan dan pengusaha restoran dan peniaga makanan,” kata beliau.

Jelas Rafizi lagi, seperti perangkaan inflasi yang diumumkan Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) baru-baru ini, walaupun inflasi bagi Disember 2022 mereda kepada 3.8 peratus berbanding 4.0 peratus dalam bulan sebelumnya, kategori harga di restoran dan hotel adalah satu-satunya kategori harga yang masih belum mereda (iaitu kenaikan 7.4 peratus dalam Disember 2022 berbanding 7.0 peratus bulan sebelumnya).-Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat