KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menerbitkan laporan tahunan atau laman sesawang rasmi perincian semua kos lawatan rasmi termasuk penglibatan pihak swasta
Malaysia Corruption Watch (MCW) mengemukakan syor ini sebagai langkah memastkan ketelusan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pengurusan kewangan negara, kata Presidennya Jais Abdul Karim.
“MCW mencadangkan penerbitan maklumat secara terperinci agar semua kos lawatan rasmi, termasuk penglibatan syarikat swasta, diterbitkan dalam laporan tahunan kerajaan atau laman web rasmi.
“Langkah ini memastikan ketelusan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pengurusan kewangan negara,” syor badan pemerhati rasuah itu dalam kenyataan medianya semalam.
Menurut Jais, merujuk kepada kenyataan terkini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pembiayaan lawatan rasmi ke empat negara yang menggunakan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dengan kos RM1.6 juta dan penglibatan syarikat swasta.
Justeru katanya, MCW menyokong sepenuhnya pendekatan Perdana Menteri yang mengutamakan ketelusan dalam menjelaskan pembiayaan lawatan rasmi ini.
“Penjelasan bahawa kos RM1.6 juta ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan baki tempat duduk ditawarkan kepada syarikat swasta yang menanggung kos sendiri adalah satu langkah yang baik untuk mengelakkan salah faham. ]
“Pendekatan ini mencerminkan usaha untuk memastikan kos lawatan rasmi lebih efisien tanpa membebankan kerajaan secara berlebihan.
“Selain itu, Perdana Menteri telah menjelaskan bahawa tiada dana syarikat swasta digunakan untuk membiayai lawatan kerajaan, dan setiap syarikat swasta yang terlibat membayar kos mereka sendiri. Walaupun ini mengurangkan risiko konflik kepentingan, MCW menekankan kepentingan untuk memastikan tiada unsur “persepsi tidak wajar” timbul, di mana syarikat swasta dilihat sebagai menerima keistimewaan tertentu kerana penglibatan mereka dalam lawatan rasmi,” kata Jais lagi.
Dalam pada itu, ujar beliau MCW mengesyorkan agar kerajaan memperkenalkan satu kerangka polisi yang jelas dan tegas berhubung penglibatan pihak swasta dalam lawatan rasmi.
“Polisi ini harus memastikan tiada syarikat yang mempunyai rekod konflik kepentingan atau sedang berurusan dengan kerajaan diberikan peluang ini.
“Menetapkan garis panduan tentang bagaimana syarikat dipilih untuk menyertai delegasi rasmi.
“Mengkehendaki laporan penuh disediakan selepas lawatan, yang merangkumi sumbangan atau manfaat ekonomi yang diperoleh, cadang beliau.
Tambah Jais lagi, MCW juga menyeru rakyat Malaysia untuk tidak mudah terperangkap dalam naratif negatif tanpa fakta yang sahih.
Hal ini katanya, dalam era media sosial dan penyebaran maklumat palsu, penting untuk rakyat menilai sesuatu isu berdasarkan fakta dan bukti yang kukuh.
“MCW menyokong agenda Malaysia Madani khususnya dalam aspek integriti, ketelusan, dan akauntabiliti. Kami percaya langkah-langkah seperti ini, jika diuruskan dengan baik, boleh menjadi contoh kepada amalan terbaik di rantau ini.
“Kesimpulannya, MCW menghargai usaha Perdana Menteri untuk mengurangkan kos kerajaan dan memastikan pengurusan kewangan awam yang lebih efisien.
“Namun, kami menegaskan bahawa langkah ini memerlukan pemantauan yang berterusan dan kerangka polisi yang kukuh untuk memastikan integriti kerajaan tidak pernah dikompromi.
“MCW akan terus memantau isu ini dan menggesa semua pihak untuk mengekalkan prinsip tadbir urus yang baik demi kepentingan negara,” tegas Jais.