KUCHING – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah Kuching yang dikuatkuasakan sejak 9 November lalu, ditamatkan esok.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada mesyuarat hari ini, memutuskan penamatan PKPB itu berkuatkuasa pada jam 11.59 malam esok.
Jurucakap Sekretariat JPBN berkata, keputusan itu diambil selepas daerah Kuching sudah bertukar daripada status zon merah kepada zon jingga dengan kes jangkitan tempatan dilaporkan sebanyak 30 kes sehingga hari ini.
“JPBN Sarawak ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada
semua agensi dan semua penduduk daerah Kuching khususnya di atas kerjasama dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) diamalkan sehingga kes jangkitan tempatan dapat dikawal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
PKPB dikuatkuasakan di daerah Kuching bermula 9 hingga 22 November lalu susulan peningkatan mendadak jangkitan ketika gelombang ketiga Covid-19 melanda.
PKPB di daerah itu kemudian dilanjutkan lima hari lagi sejak Isnin lalu hingga esok.
Sementara itu, katanya, empat jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan di Sarawak hari ini dengan semuanya berlaku di Kuching.
“Keempat-empat kes baharu itu adalah kes import dengan dua daripadanya membabitkan rakyat tempatan yang baru balik dari Sabah, semalam.
“Dua kes lagi membabitkan rakyat tempatan iaitu ahli keluarga pegawai keselamatan di Konsulat Malaysia di Pontianak, Kalimantan Barat yang baru balik dari wilayah itu Selasa lalu,” katanya. – HMetro