KOTA KINABALU, – Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah pimpinan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menunjukkan prestasi yang baik dalam mengurus aspek keselamatan dan kawalan sempadan di Sabah, menurut seorang ahli akademik Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Profesor Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS, berkata pelaksanaan langkah keselamatan di bawah KDN kini semakin berkesan hasil penggunaan teknologi tinggi dan koordinasi antara agensi keselamatan di Pantai Timur Sabah.
“Kita dapat lihat usaha KDN bukan lagi hanya bergantung kepada sumber manusia semata-mata. Dua tahun kebelakangan ini, ada tanda-tanda penggunaan teknologi tinggi dalam operasi ESSCom dan ESSZone,” katanya dalam Podcast Jam Kesebelas bertajuk ‘PRN Sabah: Cabaran Keselamatan dan Tuntutan Demokrasi’ yang dihoskan oleh Ab Jalil Backer dan Elviza Michelle Kamal.
Beliau menjelaskan, selepas pencerobohan Lahad Datu pada 2013, penubuhan Eastern Sabah Security Command (ESSCom) dan Eastern Sabah Security Zone (ESSZone) menjadi pemangkin kepada pengukuhan keselamatan di negeri itu.
“Beberapa komander ESSCom telah menunjukkan prestasi cemerlang, bukan sahaja dari segi kawalan sempadan, tetapi juga peningkatan kadar tangkapan dan tindakan penguatkuasaan,” jelasnya.
Menurut Dr. Syahruddin, kecekapan KDN turut terserlah dalam memastikan kawalan keselamatan tidak disalah tafsir sebagai tekanan politik, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang bakal diadakan pada November ini.
“KDN tidak memilih musim. Penguatkuasaan mereka bukan bersifat politik, tetapi tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara,” tegas beliau.
Beliau turut memuji pendekatan komunikasi terbuka yang diamalkan oleh Saifuddin Nasution dalam menangani isu-isu sensitif melibatkan persepsi rakyat terhadap operasi keselamatan di lapangan.
“Keterbukaan mendengar dan menjelaskan semula isu-isu sensitif menunjukkan kematangan politik dan kemahiran komunikasi KDN hari ini,” katanya lagi.
Dr. Syahruddin menambah, perkembangan positif dalam operasi sempadan serta penurunan kadar jenayah di Sabah membuktikan keberkesanan koordinasi bersepadu antara KDN, ESSCom, dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kita harus mengiktiraf bahawa keadaan keselamatan di Sabah kini lebih stabil berbanding sedekad lalu hasil kesungguhan dan kesinambungan dasar KDN,” katanya.-SUARA.TV



