KUALA LUMPUR – Seruan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap komuniti antarabangsa supaya melaksanakan peranan masing-masing sebagai sebuah keluarga besar atau ‘Keluarga Dunia’ wajar disokong dan dipuji bagi memupuk keazaman untuk mewujudkan suasana dunia yang lebih harmoni pada hari mendatang.
Ahli Parlimen Jempol Datuk Seri Mohd Salim Sharif memuji Perdana Menteri kerana telah mencipta satu lagi sejarah sebagai pemimpin tertinggi negara yang pertama berucap menggunakan Bahasa Melayu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di New York, Amerika Syarikat.
“Perkara ini bukan sahaja merakam sejarah baru Bahasa Melayu di pentas perhimpunan diplomatik terbesar tetapi juga telah menunjukkan keseriusan dan ketegasan beliau selaku pemimpin utama negara yang komited mengangkat martabat bahasa Melayu di persada dunia.
“Beliau yang tampil segak serba lengkap berbaju Melayu hitam semasa melangkah masuk ke dewan utama serta delegasi negara yang turut mengenakan pakaian baju Kebangsaan dan batik Malaysia telah mencuri tumpuan delegasi lain,” ujarnya.
Tambah beliau, gesaan mereformasikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi penghapusan kuasa veto terhadap lima buah negara yang menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan PBB merupakan suatu tindakan berani dan realistik bagi mengembalikan PBB kepada landasan asal penubuhannya.
Kata Mohd Salim, Majlis Keselamatan PBB yang dianggotai negara berkuasa veto umpama barah di dalam tubuh kerana bercanggah dengan nilai demokratik dan bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia.
“Ketidakadilan sistem kuasa veto telah menunjukkan bahawa keamanan dan kestabilan dunia hanyalah suatu ilusi semata-mata.
“Krisis yang melanda di bumi Palestin sejak sekian lamanya dan keadaan di Ukraine telah menuntut reformasi ini dilaksanakan dengan segara kerana kesannya turut dirasai seluruh dunia.
“Konflik tersebut bukan sahaja mendatangkan kesan kepada negara yang terlibat tetapi telah mengancam keamanan, keselamatan global, ekonomi dan sekuriti makanan,” katanya.