Usah anggap usahawan rakam lagu sebagai penyanyi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah tiada masalah berduet dengan mana-mana penyanyi asalkan individu terbabit bijak menjaga ‘pitching’ atau nada suara.

Bintang legenda yang popular dengan lagu Gadis Melayu itu mengulas hasrat usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri yang dilaporkan mahu berduet dengannya.

Jamal berkata, Aliff tidak perlu mengikuti kelas vokal semata-mata hendak berduet dengannya, namun, perlu menyanyi dengan sepenuh hati dan tidak sumbang.

Namun, Jamal berkata, kesediaan untuk bekerjasama dengan syarat dipenuhi, bukan disebabkan mahu mengejar glamor.

Baginya, populariti sudah puas dikecapi selepas memenangi Bintang RTM pada 1979.

“Saya tidak perlukan glamor. Saya anggap pelawaan daripada sesiapa sahaja termasuk Aliff adalah suatu penghormatan buat saya.

“Pada masa sama, saya perlu ikut aliran agar dapat terus relevan dalam persada seni.

“Cuma, kalau direalisasikan, syarat utama saya, dia kena nyanyi betul-betul dan tidak sumbang kerana kita akan sakit telinga.

“Saya tidak kisah dikecam kerana orang tahu siapa yang boleh menyanyi dan siapa tidak,” katanya pada majlis pelancaran produk kecantikan, Zarania Beauty di ibu negara, baru-baru ini.

 

Jamal mengusahakan produk bersama isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin ketika majlis pelancaran produk kecantikan, Zarania Beauty di ibu negara, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri
Jamal mengusahakan produk bersama isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin ketika majlis pelancaran produk kecantikan, Zarania Beauty di ibu negara, baru-baru ini. – NSTP/Rohanis Shukri

 

Jamal mengusahakan produk kecantikan itu bersama rakan kongsi lain.

Ditanya adakah kemunculan ramai pengusaha produk yang berlumba-lumba menjadi penyanyi sebagai tindakan ‘melacurkan’ seni, Jamal percaya taktik itu digunakan untuk memasarkan produk masing-masing.

“Kita tahu mereka bukan penyanyi, jadi kita haruslah berlapang dada kerana itu semua sebahagian daripada strategi ahli perniagaan.

“Kita juga tak boleh salahkan pengusaha produk berbuat demikian kerana usahawan mempunyai banyak cara untuk melariskan produk.

“Jangan lihat mereka sebagai penyanyi, sebaliknya mereka berkarya untuk bisnes.

“Sesiapa pun boleh menyanyi, tiada masalah jika dia menggunakan mekanisme itu untuk perniagaan.

“Orang boleh menilai sama ada dia menyanyi secara serius atau sekadar mencari publisiti untuk perniagaan,” katanya lagi.

Ditanya apakah beliau akan menggunakan strategi serupa bagi melariskan bisnes terbaru yang diusahakan bersama rakan kongsinya itu, Jamal tidak akan melakukan perkara yang boleh memalukan diri.

Sebaliknya, Jamal mungkin lebih banyak muncul secara langsung di laman sosial bagi mempromosikan perniagaan kosmetiknya itu.

“Saya tidak akan lakukan benda bukan-bukan semata-mata untuk melariskan produk.

“Mungkin saya akan muncul ‘live’ bersama isteri untuk memperkatakan mengenai produk atau saya solek isteri,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat