CENDANA permudah dana penggerak seni budaya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menghampiri dua tahun penularan COVID-19 menyaksikan majoriti penggiat seni budaya tempatan menerima impak negatif dalam aspek operasi dan hasil pendapatan, berdasarkan laporan terbaru Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA).

Kajian CENDANA mendapati 97 peratus daripada lebih 200,000 penggiat seni budaya di seluruh negara terjejas akibat pandemik tahun ini, meningkat lima peratus berbanding 2020.

Laporan CENDANA juga mendapati 77 peratus daripada penggiat seni budaya hilang sebahagian besar atau keseluruhan punca pendapatan berikutan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Mohd Sallehuddin, berkata agensi itu simpati dan sedih melihat angka penggiat seni budaya yang terkesan akibat penularan COVID-19 meningkat lima peratus tahun ini, berbanding 92 peratus tahun lalu.

“Lebih-lebih lagi 70 peratus daripada penggiat seni budaya bergantung sepenuhnya kepada bidang seni untuk kelangsungan hidup.

“Rata-rata mereka bekerja secara freelance dan tidak diwakili organisasi profesional, sebaliknya bergerak secara individu.

“CENDANA menyokong semua penggiat seni sama ada yang memiliki syarikat berdaftar, kolektif mahupun individu untuk memohon dana yang disalurkan agensi ini.

“Bagi membolehkan menerima dana, mereka hanya perlu mengisi borang yang betul tanpa memiliki syarikat pun,” katanya kepada BH Online.

Menyedari impak COVID-19 terhadap pembangunan sektor seni budaya, kerajaan tahun lalu mula menyalurkan dana melalui beberapa agensi, termasuk CENDANA bagi membolehkan penggiat seni budaya bernafas.

Sejak itu, CENDANA menerima peruntukan RM33 juta daripada kerajaan dengan RM10 juta disalurkan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), tahun lalu.

Ini diikuti Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) sebanyak RM7 juta dan terbaru, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM8 juta.

Izan Satrina berkata, PEMULIH menawarkan beberapa jenis geran daripada kecil, sederhana dan besar iaitu serendah RM3,000, RM4,500, RM8,000 sehingga RM30,000.

Selain itu, katanya, Projek Light menyediakan geran RM180,000 bagi menghidupkan bandar dengan seni awam dan persembahan di lokasi terpilih antaranya Butterworth, Pulau Pinang; Ipoh, Perak; Batu Pahat, Johor; Kuching, Sarawak dan Melaka.

“Projek Light akan mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan kerana membabitkan tenaga kerja seperti juruvideo, penulis, pereka grafik dan jurugambar.

“Selain individu depan tabir, kami mengalu-alukan pekerja belakang tabir untuk memohon. Asalkan dalam bidang seni, mereka layak memohon.

“Sebelum ini, geran yang diberi bernilai besar. Tetapi, bagi memastikan lebih ramai penggiat mendapat manfaat, PEMULIH menyediakan dana lebih kecil,” katanya.

Menjawab kemusykilan segelintir pihak yang menyatakan dana CENDANA bagi membiayai projek, bukan kelangsungan hidup penggerak seni budaya, Izan Satrina berkata:

“Sebenarnya, kerajaan menyalurkan bantuan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), namun itu tidak bermakna CENDANA mengabaikan keluhan penggerak seni budaya,” katanya.

Tambah Izan Satrina, penggerak seni budaya boleh memohon Program Pembiayaan Karya Kilat 2.0 dengan nilai geran RM3,500.

“Pemohon yang layak perlu menggunakan dana untuk membeli peranti digital bagi menghasilkan karya digital.

“Untuk memohon, mereka hanya perlu memuat naik hasil karya sama ada dalam bentuk nyanyian, lagu atau lukisan ke mana-mana platform digital untuk melayakkan mereka mendapat dana itu,” katanya.

Selain Program Pembiayaan Karya Kilat 2.0, Izan Satrina berkata, Program Seni Untuk Semua menawarkan geran RM3,000 untuk individu serta RM4,500 untuk kolektif dan organisasi

“Sasaran penerima adalah pendidik seni, guru seni dan pengajar seni dengan mempromosikan pendidikan seni dalam atas talian,” katanya.

Sementara itu, tambahnya, Program Pembiayaan Produksi Seni Visual menyediakan geran RM8,000 kepada pemohon membabitkan pengkarya lukisan, seni arca, fotografi, seni pemasangan, seni audio video dan karya multimedia.

“Hasil seni akan dipamer sebaik kerajaan membuka pintu untuk industri seni,” katanya.

Izan Satrina berkata, melalui PRISMA, 12 jenis program ditawarkan, termasuk bengkel dan platform persembahan karya yang dianggarkan mampu memberi manfaat kepada 700 penerima.

Tambahnya, CENDANA sangat proaktif dalam membantu komuniti, termasuk mengadakan bengkel bersama panel penilai cara pemilihan dana yang sesuai bagi mengelak penggerak seni budaya terlepas peluang hanya disebabkan kesalahan mengisi borang.

Selain bengkel, video panduan mengisi borang turut disediakan di laman web CENDANA bagi memudahkan pemohon membuat rujukan.

“Permohonan yang jelas dan lengkap dengan dokumen sokongan akan memudahkan proses.

“Tiada istilah siapa cepat dia dapat. Semua dinilai sebaiknya oleh panel dilantik, iaitu bukan daripada pihak CENDANA.

“Setiap permohonan mengambil masa kira-kira empat minggu untuk mendapat kelulusan. Tarikh tutup bagi setiap program berbeza untuk mengelak kesesakan sistem pemprosesan,” katanya.

Permohonan geran di bawah PEMULIH dibuka sejak 11 Ogos lalu sehingga 1 September ini.

Pernah bekerjasama dengan aplikasi pintar, Grab menjayakan konsert maya #LiveKatRumah bagi menyokong lebih 80 artis tempatan dan kru produksi yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Berita harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat