Isirung kelapa sawit bantu sekuriti makanan -PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan amat menggalakkan usaha menjadikan hampas isirung sawit sebagai bahan mentah makanan domestik akuakultur dan penternakan.

Ini bagi mengurangkan pergantungan import dan menyumbang kepada inisiatif sekuriti makanan (food security) negara,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Pada masa yang sama, pendekatan untuk menggunakan bahan mentah daripada sisa buangan atau lebihan di sepanjang rantaian nilai sektor agrikomoditi, juga diberi tumpuan bagi memacu pembangunan ekonomi kitaran (circular economy).

“Ini termasuk menjadikan sumber biojisim agrikomoditi sebagai antara komponen penting dalam ekonomi kitaran yang berupaya menghasilkan produk nilai tambah, sekali gus membolehkan Malaysia bakal muncul sebagai hab biojisim.

“Keupayaan sasaran ini juga sesuai dengan status negara sebagai pengeksport minyak sawit kedua terbesar di dunia dan penyumbang terbesar dalam industri,” kata Perdana Menteri di Majlis Perasmian Malaysia International Agricommodity Expo and Summit (MiACES) di Mitec pada Selasa.

Dalam hal ini Perdana Menteri berkata, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan agensi yang berkaitan diberikan tanggungjawab menguruskan sektor agrikomoditi secara mapan.

“Ini dapat dilihat melalui pelaksanaan secara mandatori pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) bermula pada tahun 2020.

“Walaupun pengeluaran minyak sawit jatuh ke tahap rendah akibat cuaca buruk pada tahun lepas, sektor agrikomoditi tetap teguh. Sehingga Februari tahun ini nilai komoditi eksport meningkat lima peratus iaitu RM31.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Ismail Sabri memberitahu, menjelang akhir tahun lepas, sektor ini mencapai nilai perdagangan sebanyak RM270.2 bilion iaitu peningkatan 39.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Hal ini menurut beliau, kerajaan menyedari seluruh dunia termasuk Malaysia berdepan dengan cabaran sekuriti makanan akibat ketidaktentuan ekonomi global dan krisis geopolitik serta perubahan iklim.

Ujarnya, perkembangan ini menjejaskan rantaian bekalan makanan kerana ada negara menghentikan eksport bahan makanan untuk keperluan haiwan ternakan.

Dalam pada itu, kata Perdana Menteri Malaysia juga perintis dalam pelaksanaan pensijilan hutan tropika yang dikenali sebagai Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang diiktiraf dan diperakui negara-negara dunia.

“Malah produk kayu bersijil daripada Malaysia telah digunakan dalam pembinaan Stadium Nasional Jepun untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Selain itu, sektor perabot negara juga sedang melalui transformasi dan kita kini boleh berbangga kerana mampu menghasilkan reka bentuk perabot yang semakin dikenali di peringkat antarabangsa di bawah label Tanggam.

“Malaysia turut terkenal sebagai pengeksport getah asli dan barangan getah yang berkualiti tinggi terutamanya sarung tangan getah yang telah menembusi hampir 190 buah negara,” ujarnya.

Sejajar dengan evolusi yang berlaku dalam rantaian penghasilan produk getah masa kini, kata Ismail Sabri Malaysia telah mempelbagaikan produk berasaskan getah terutama sekali yang bernilai tinggi.

“Terbaharu hasil penyelidikan yang diterajui oleh anak Malaysia dengan kerjasama universiti terkemuka dunia, komposit getah generasi baharu telah berjaya dicipta hasil kombinasi ekstrak graphene dan getah asli.

“Komposit getah baharu ini akan digunakan dalam pembuatan belon aeroangkasa dan ini merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.

“Penemuan baharu ini membolehkan Malaysia menceburi industri bernilai tinggi dan meneroka pasaran baharu yang melibatkan aplikasi satelit dan aeroangkasa seterusnya membantu meningkatkan nilai eksport produk getah negara,” katanya.

Perdana Menteri memberitahu, kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) bagi mempelbagaikan produk agrikomoditi dengan nilai tambah tinggi.

“Bagi produk sawit, syarikat-syarikat milik Kerajaan China akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat Malaysia dan MPOB untuk mengeluarkan hydrotreated vegetable oil (HVO) dan bahan api penerbangan mampan (SAF) di Malaysia melibatkan FDI bernilai RM6 bilion.

“Syarikat dari China ialah Shanxi Construction Investment Group Co. Ltd. (SCIG) dan Institute of Coal Chemistry, Chinese Academy of Sciences (ICC-CAS) manakala syarikat Malaysia pula Pengerang Maritime Industries Sdn. Bhd. (Benalec) dan Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC).

“Usaha sama ini bakal menawarkan 1,000 peluang pekerjaan. Pembinaan kilang HVO dan SAF pertama di Malaysia ini merupakan salah satu inisiatif untuk memacu sektor sawit Malaysia ke arah industri berteknologi dan bernilai tinggi,” kata beliau.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, beliau sentiasa berharap sektor agrikomoditi dapat membantu negara menjana semula ekonomi dan mengembalikan kestabilan ekonomi rakyat.

Kata beliau lagi, MiACES 2022 mampu menjadi platform terbaik untuk mempromosikan produk-produk dan teknologi berkaitan industri sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan menyasar MiACES 2022 mampu menjana lebih RM300 bilion nilai eksport, sekali gus menjadi platfom terbaik untuk penggiat industri agrikomoditi tempatan mengembangkan eksport produk ke pasaran baharu.

“Ini kerana ekspo ini juga akan dihadiri oleh pengeluar hasil, inovator, pelaburan serta pengeksport dan pengimport hingga kepada penggubal dasar, penyelidik dan ahli akademik dari 39 buah negara.

“Saya yakin MIACES 2022 juga merupakan langkah progresif menghubungkan penggiat industri kepada solusi yang inovatif, sekali gus menyumbang ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” ujarnya.

Perdana Menteri memberitahu, Sektor Agrikomoditi menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir sejuta Keluarga Malaysia di peringkat huluan, meningkatkan taraf hidup dan pendapatan rakyat terutamanya pekebun kecil dan masyarakat di luar bandar sejak berdekad yang lalu.

“Kerajaan sangat komited dalam usaha memacu pembangunan sektor agrikomoditi agar lebih kukuh, berdaya saing dan berorientasikan pasaran bagi memenuhi agenda pembangunan sosioekonomi negara,” kata beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat