KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu kagum dengan penghasilan avokado yang diusahakan peladang dari Keningau Sabah.
Beliau bahkan sangat yakin pertanian moden boleh jadi sumber rezeki yang hebat, terutama untuk anak-anak muda. Selain menjamin keperluan makanan negara, ia juga mampu menjana pendapatan yang stabil.
“Pagi ini Bang Mat terima hadiah istimewa, buah avokado segar dari Keningau, Sabah! Yang bawa ke pejabat di Putrajaya bukan orang lain, timbalan Bang Mat sendiri, Datuk Arthur Joseph Kurup. Terima kasih Datuk Arthur!
“Ramai mungkin tak sangka, tapi avokado pun boleh ditanam di Malaysia. Dan hasil dari Keningau ini memang luar biasa, segar, besar dan berkualiti tinggi.
“Ini satu bukti jelas bahawa dengan iklim kita yang sesuai dan usaha yang bersungguh-sungguh, banyak lagi tanaman berpotensi tinggi boleh kita usahakan.
“Bang Mat sangat yakin, pertanian moden ini boleh jadi sumber rezeki yang hebat, terutama untuk anak-anak muda. Selain menjamin keperluan makanan negara, ia juga mampu menjana pendapatan yang stabil,” ujarnya.
Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST), khususnya terhadap buah-buahan import, dengan menyatakan langkah itu bertujuan mengenakan cukai kepada golongan kaya.
Mengulas mengenai cukai 5 peratus terhadap buah-buahan import, Anwar memberi gambaran keputusan itu hanya akan memberi kesan kepada mereka yang memakan buah-buahan mahal seperti avokado.
“Baru ni masuk dalam (berita) barang import, cukai, pisang! Dah (orang) mengamuk…Kita tanam susah-payah di Lumut, kemudian kena import pisang? Pisang import bukan pisang emas, pisang awak, pisang berangan di sini kena cukai.
“Bacalah dulu, jangan bedal dulu. Yang naik ini buah-buah (import)…yang nak makan avokado! Avokado ni saya dengar KSN makan. Ia mahal, import. Awak orang ada pendapatan tinggi, dia kaya, nak makan avokado, makanlah. Tapi bayarlah sikit lebih. Kita cukai avokado,” katanya.