Dr. Ramzah Dambul Puji Pendekatan Fadhlina, Kritik Gaya ‘Top-Down’ Ekonomi Era Rafizi

- Advertisement -

KOTA KINABALU, – Tokoh akademik dan penulis dari Sabah, Dr. Ramzah Dambul, menyuarakan pandangan kritikal terhadap pendekatan dasar dalam pentadbiran kerajaan, khususnya membandingkan gaya kepimpinan bekas Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli dan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.

Dalam satu penulisan reflektif yang dikongsikan di media sosial, Dr. Ramzah yang juga pensyarah dan penyelidik di Universiti Malaysia Sabah (UMS) memuji pendekatan Fadhlina yang dianggap lebih membumi, stabil dan tidak terburu-buru merombak dasar lama.

“Gaya kepimpinan Fadhlina sangat membumi. Dia turun padang, cuba selesaikan isu praktikal warga pendidik. Dia tidak sibuk mendendang dasar-dasar gah yang dicanang revolusioner,” ujar beliau.

Dr. Ramzah turut memuji keberanian Fadhlina meneruskan dasar sedia ada meskipun tidak popular, sesuatu yang disifatkannya memberi kestabilan kepada pelajar dan guru berbanding pendekatan eksperimental yang kerap berubah.

Sebaliknya, beliau menegur gaya penggubalan dasar semasa Rafizi Ramli memegang portfolio ekonomi yang dianggap terlalu “top-down” dan kurang sensitif kepada realiti wilayah seperti Sabah dan Sarawak.

“Rafizi… tidak nampak sangat turun ke tempat-tempat marginal seperti Borneo. Jadi dia seperti kurang faham konteks jurang wilayah,” katanya.

Beliau memetik hasil Kajian Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2024/2025 terhadap program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang menunjukkan 80 peratus projek di Sabah tidak mampan kerana kelemahan dalam memahami konteks demografi dan geografi tempatan.

Dr. Ramzah turut mengkritik penganjuran program ‘INNOVATHON’ yang menurutnya gagal mewujudkan ruang kepada inovasi akar umbi.

“Akhirnya hanya saintis dan teknologis tersohor yang dijulang. Padahal mereka sudah ada banyak platform lain untuk bersinar. Kita patut fokus untuk merakyatkan inovasi.”

Beliau mencadangkan agar diwujudkan kategori khas bagi inovasi rakyat marhaen bagi memastikan padang pertandingan yang lebih rata dalam pengiktirafan inovasi nasional.

Walaupun mengkritik pendekatan Rafizi, Dr. Ramzah tetap mengiktiraf visi progresif bekas menteri itu, namun berpandangan bahawa suasana pasca pandemik menuntut pendekatan yang lebih praktikal dan inklusif seperti yang dibawa oleh Fadhlina.

“Dalam suasana Malaysia yang masih belum pulih pasca pandemik, saya lebih suka pendekatan Fadhlina. Dia membina atas apa yang sudah ada. Fokus pada hasil-hasil yang mudah dicapai dulu.”

Sebagai penutup, beliau mengajak masyarakat termasuk pembuat dasar untuk menerima kritikan secara terbuka dan tidak bekerja demi pujian.

“Dunia ini keras, dan hatimu mesti lebih keras. Supaya kau tidak ‘mati mengeras’ sebelum mati sebenar,” tulisnya dalam satu pernyataan penuh simbolik.

Dr. Ramzah Dambul terkenal bukan sahaja sebagai ahli akademik dalam bidang klimatologi, malah turut dikenali sebagai penulis karya kreatif dan pemerhati sosial yang sering menyampaikan komentar secara sastera, tajam, dan membina.

Beliau kini merupakan antara pemikir pembangunan yang aktif di Sabah.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat