Sabah Miliki Potensi Besar Dalam Industri Teknologi Dron – Arthur Joseph Kurup

- Advertisement -

CYBERJAYA – Komitmen yang ditunjukkan Kerajaan Sabah melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) dengan kerjasama Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) secara tidak langsung mencerminkan usaha bersepadu antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan bagi meneroka potensi industri teknologi dron (DroneTech).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, industri dron berpotensi menyumbang kira-kira RM50.71 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara merangkumi RM2.77 bilion daripada sektor pertanian, RM20.73 bilion daripada sektor pembuatan/industri dan RM28.14 bilion yang disumbang daripada sektor perkhidmatan di samping menyediakan kira-kira 100,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi menjelang tahun 2030.

“… Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui MRANTI telah membangunkan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022 – 2030 (MDTAP30) bagi menyokong ekosistem dan pembangunan industri dron negara.

“Sabah mempunyai potensi yang tinggi untuk merebut peluang ekonomi dalam industri dron seiring dengan 8 misi yang digariskan dalam MDTAP30. Ini termasuklah potensi dalam sektor pertanian bagi mencapai hasil yang lebih tinggi dan mengurangkan penggunaan buruh.

“Teknologi ini akan mempermudah dan mempercepatkan gerak kerja yang melibatkan logistik termasuklah bertindak sebagai sistem sokongan untuk pasukan keselamatan, pemetaan tanah, pemantauan sempadan antara negara dan alternatif logistik bagi pembekalan perubatan ke kawasan yang terpencil,” katanya.

Beliau turut berterima kasih atas sokongan dan merakamkan setinggi penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor atas kesudian meluang masa merasmikan Sabah Drone Open Day 2023 yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini.

Menurut Arthur lagi, terdapat potensi ekonomi dalam membangunkan fasiliti dan operasi pembuatan serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja mahir bagi memenuhi permintaan pasaran industri dron tempatan dan antarabangsa.

“Melihat kepada keperluan dan potensi ekonomi yang dapat kita capai melalui industri ini, saya percaya sudah tiba masanya kita di Sabah memberikan tumpuan dalam membangunkan ekosistem yang mesra industri teknologi dron bagi memacu sumber ekonomi baharu yang dapat memberi manfaat yang tinggi kepada rakyat Sabah.

“Semoga inisiatif yang dilancarkan pada hari ini akan menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih luas dan erat antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan bagi merancakkan landskap industri teknologi dron di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat