Oleh Dr. Nor Azura A. Rahman
Ramai hanya menyedari tentang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung pada 26–27 Mei di Kuala Lumpur, yang merupakan platform utama bagi para pemimpin negara anggota ASEAN menilai kemajuan Komuniti ASEAN merentasi tiga tunjang utama Politik-Keselamatan, Ekonomi, dan Sosiobudaya.
Sidang ini amat signifikan kerana dijangka akan memperaku dokumen-dokumen penting yang bakal menggariskan hala tuju masa depan ASEAN. Antara dokumen utama ialah Deklarasi Kuala Lumpur sempena ulang tahun ke-10 penubuhan Komuniti ASEAN, yang menilai pencapaian sedia ada dan menetapkan hala tuju strategik untuk dekad akan datang.
Tambahan pula, dokumen Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama yang akan ditandatangani oleh para pemimpin ASEAN pada sidang ini bakal menjadi kerangka jangka panjang untuk membina sebuah Komuniti ASEAN yang lebih berdaya tahan, inovatif dan berpaksikan rakyat menjelang tahun 2045.
Meskipun tumpuan umum sering terarah kepada deklarasi besar ini, namun dua lagi sidang kemuncak yang berlangsung secara serentak tidak kurang pentingnya – iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China. Kedua-dua sidang ini bakal membuka lembaran baru dalam perluasan kerjasama ekonomi, perdagangan dan pembangunan strategik serantau.
Oleh itu, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ini bukan sahaja penting dari sudut perancangan masa depan ASEAN, malah ia juga menjadi pentas bersejarah yang menyatukan tiga blok ekonomi utama dunia ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China dalam satu kerangka kolaboratif baharu.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 memainkan peranan utama dalam penganjuran ketiga-tiga sidang ini. Bukan sekadar menjadi tuan rumah, Malaysia turut bertindak sebagai pemacu dasar dan penyelaras agenda-agenda strategik yang bakal dilakar bersama rakan serantau. Penganjuran ini selaras dengan keutamaan Malaysia yang menekankan integrasi ekonomi, pembangunan mampan dan keterangkuman digital.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2
Dalam konteks Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2, Malaysia meneruskan komitmen yang dimeterai pada Sidang pertama di Riyadh pada 2023, yang menyaksikan persetujuan untuk mengadakan sidang ini setiap dua tahun. Kali ini, ia memberi penekanan kepada pelaksanaan Rangka Kerjasama ASEAN-GCC 2024–2028 yang meliputi bidang perdagangan bebas, pendidikan, budaya, pembangunan ekonomi dan digitalisasi.
Sidang ini berfungsi sebagai platform strategik yang menghimpunkan pemimpin ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bagi membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Ia juga bertujuan memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang utama seperti perdagangan, pelaburan, pembangunan mampan dan keterhubungan antara rantau.
GCC kini merupakan rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan mencecah USD130.7 bilion. Walaupun terdapat sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya, prospek jangka panjang kekal positif – didorong oleh kestabilan perdagangan tenaga serta kerjasama sektoral yang semakin meluas. Dalam aspek pelaburan pula, GCC telah menyumbang sebanyak USD390.2 juta ke ASEAN, menandakan peningkatan keyakinan pelabur dan potensi kerjasama ekonomi yang belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya selaku Pengerusi ASEAN 2025. Ia juga menzahirkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh hubungan ASEAN-GCC, selari dengan keutamaan yang telah digariskan dalam kepengerusian tahun ini.
Selain itu, Sidang ini juga menandakan kesinambungan hubungan erat yang telah terbina sejak 1990. Tumpuan utamanya adalah kepada pelaksanaan Rangka Kerjasama ASEAN-GCC 2024–2028, sebuah pelan tindakan yang merangkumi bidang-bidang penting seperti perdagangan bebas, ekonomi digital, pendidikan, budaya dan maklumat. Inisiatif Priority Economic Deliverables (PEDs) turut digerakkan bagi memastikan pelaksanaan berimpak tinggi selari dengan wawasan bersama.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China
Lebih signifikan, Malaysia memperkenalkan satu lagi platform kerjasama menerusi Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama, satu inisiatif trilateral baharu yang belum pernah dilaksanakan sebelum ini. Matlamatnya jelas menyatukan kekuatan ekonomi tiga wilayah bagi memperkukuh perdagangan, pelaburan, pembangunan teknologi hijau dan keterhubungan digital secara kolektif.
Sebagai inisiatif baharu yang dipelopori Malaysia dalam kapasitinya sebagai Pengerusi ASEAN, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China ini mengambil kira hakikat bahawa ASEAN kini merupakan kuasa ekonomi kelima terbesar di dunia dengan KDNK mencecah USD3.8 trilion (2023), manakala China kekal sebagai rakan dagang utama ASEAN dengan jumlah dagangan mencecah USD696.7 bilion.
Dengan gabungan kekuatan ini, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China dijangka menjadi pemangkin utama kepada perkongsian ekonomi tiga hala yang mampan dan menyeluruh. Fokus utamanya adalah kepada pengukuhan integrasi ekonomi melalui sektor-sektor strategik seperti perdagangan, pelaburan, pembangunan infrastruktur, rantaian bekalan serta keterhubungan digital. Usaha ini bertujuan mewujudkan ekosistem kerjasama yang inklusif dan menguntungkan semua pihak.
Dari perspektif ekonomi serantau, kolaborasi tiga hala ini membuka potensi yang sangat besar. Gabungan KDNK ASEAN, GCC dan China mencecah USD24.87 trilion setahun (pada harga semasa), manakala populasi gabungan ketiga-tiga rantau ini menjangkau 2.15 bilion orang. Ini menjadikan blok ini antara yang paling berpengaruh dari segi kapasiti pasaran dan potensi pelaburan langsung asing (FDI).
Skala ekonomi yang luas ini bukan sahaja mampu meningkatkan perdagangan rentas sempadan, malah mempercepat inovasi, mengukuhkan rantaian bekalan serantau dan menyokong pembangunan infrastruktur yang mampan. Usaha kolaboratif ini juga akan memacu pertumbuhan ekonomi inklusif, memperluas akses kepada teknologi hijau dan memperkukuh kerjasama dalam pembangunan bandar pintar.
Secara keseluruhannya, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bukan sahaja akan menjadi medan penetapan dasar dan hala tuju Komuniti ASEAN, tetapi juga satu peluang besar bagi mengukuhkan hubungan strategik antara ASEAN, GCC dan China. Malaysia, selaku tuan rumah dan Pengerusi ASEAN, memainkan peranan penting dalam membentuk landskap kerjasama serantau yang lebih dinamik, mampan dan berpaksikan masa depan bersama.
Dr. Nor Azura A. Rahman adalah Felo Bersekutu di Institut Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD) dan juga merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).