Dato’ Khadijah Ibrahim: dari pentas seni ke pentas rasa – Sos Cili Ibu cetus nostalgia dan warisan

- Advertisement -

Cyberjaya 24 Mei 2025 – Bukan hanya bersuara emas di pentas seni, Dato’ Khadijah Ibrahim kini mencipta gelombang baharu dalam dunia kulinari menerusi jenama makanan warisannya sendiri. Bertempat di D’Banquet Hall, Al Juned Link Singapura, figura seni yang mesra disapa Ibu ini melangkah ke hadapan memperkenalkan Sos Cili Ibu dalam satu majlis tertutup bersama lebih 100 peminat setia di perantauan.

Majlis tersebut bukan sekadar pertemuan eksklusif peminat dan idola, tetapi satu simbolik kepada fasa baharu seorang seniwati yang kini giat memperluas legasi menerusi cita rasa dan tradisi.

Jika selama ini beliau dikenali melalui lagu-lagu malar segar seperti Ku Gembira Di Sampingmu dan Doa Buat Kekasih, hari ini Dato’ Khadijah menyulam rasa kasih yang sama ke dalam hasil tangan terbarunya – Sos Cili Ibu. Dicipta dengan inspirasi masakan ibu zaman dahulu, sos ini bukan sekadar produk, tetapi wadah menyampaikan rasa nostalgia yang semakin terhakis dalam dunia moden.

“Sos ini lebih daripada sekadar pedas. Ia adalah kenangan, pelukan rasa dari zaman kecil saya, dari dapur mak saya, dari kampung halaman,” ujar beliau penuh emosi.

Keunikan Sos Cili Ibu bukan hanya terletak pada rasa pedasnya yang ‘kick’ dan menyengat, tetapi pada niat dan cerita di sebaliknya. Ia dirumus khas untuk mengekalkan rasa asli makanan tradisional Melayu, satu misi yang menjadi asas kepada jenama Khadijah’s Kitchen miliknya.

Keberanian Dato’ Khadijah untuk mengorak langkah dalam bidang keusahawanan bukanlah suatu kebetulan. Minat mendalam terhadap masakan, ditambah pengalaman bertahun-tahun menjamu kenalan dan peminat, akhirnya menjelma dalam bentuk perniagaan makanan yang semakin dikenali. Sos Cili Ibu hanyalah permulaan – satu titik permulaan kepada hasratnya memartabatkan warisan makanan Malaysia ke peringkat global.

Pelancaran di Singapura ini menandakan permulaan strategik untuk menguji pasaran serantau. Reaksi hangat daripada para pengunjung dan peminat tempatan menunjukkan bahawa produk ini bukan sekadar diterima, malah disambut dengan penuh keterujaan. Sos ini kini boleh didapati di Yisun Halal Mart, satu langkah awal ke arah pengedaran lebih meluas di luar negara.

Dato’ Khadijah tidak menjual produk semata, beliau berkongsi kisah. Setiap botol Sos Cili Ibu membawa bersama emosi dan sejarah; rasa yang membina jati diri, rasa yang menyatukan keluarga, dan rasa yang membawa kita kembali ke pangkuan ibu – walau hanya melalui sepinggan nasi goreng atau celupan keropok lekor.

“Saya mahu orang rasa ‘rindu’ bila makan sos ni. Rindu pada ibu, pada rumah, pada kampung. Itulah nilai sebenar makanan – bukan sekadar kenyang, tapi mengubat jiwa,” kata beliau lagi.

Melalui jenama Ibu Food dan semangat yang tidak pernah pudar, Dato’ Khadijah membuktikan bahawa seni itu boleh berubah bentuk — daripada melodi ke aroma, daripada nyanyian ke sajian.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian, layari www.ibufood.com atau ikuti media sosial rasmi SOS IBU OFFICIAL.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat