SEREMBAN,– Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin menegur Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan selepas individu berkenaan didakwa mengaitkan Pemuda UMNO dengan usaha menggoncang Kerajaan Perpaduan negeri.
Teguran itu dibuat selepas Ahmad Shahir, yang merupakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, meninggalkan komen di media sosial dengan mendakwa pihak UMNO sedang “kocak” Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan.
Dalam komen tersebut, Ahmad Shahir turut mendakwa UMNO sedang menyusun “game” dengan menggunakan Pemuda UMNO Seremban, selain mengaitkannya dengan empat Exco UMNO dalam kerajaan negeri.
“UMNO side awak sedang kocak Kerajaan Perpaduan N9. UMNO yang sibuk bekerja bangunkan N9 semua faham isu ini.
“Empat Exco UMNO nampak sangat game yang kamu sedang susun. Lepas guna Pemuda Seremban, jangan malukan funder awak ye,” tulisnya.
Mohamad Fadil dalam reaksinya menolak dakwaan itu dan menegaskan Pemuda UMNO mempunyai pendirian sendiri tanpa diarahkan mana-mana pihak.
“Untuk makluman, Pemuda UMNO bukan seperti kamu yang hanya pandai menjilat kerana kami mempunyai pendirian kami sendiri dan kami lakukan tanpa ada arahan daripada empat Exco mahupun siapa sahaja,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pihak terbabit supaya tidak terlalu narsistik dengan menyalahkan orang lain atas kesilapan sendiri.
“Jangan terlalu narsistik dengan menyalahkan orang lain atas kesilapan serta kesalahan sendiri dan jangan menjaja fitnah ke sana ke mari seperti yang telah kamu lakukan sebelum PRU-14 dan PRU-15 yang lalu,” katanya.
Mohamad Fadil turut menggunakan beberapa peribahasa bagi menggambarkan sikap pihak tertentu dalam krisis pentadbiran Negeri Sembilan yang masih berpanjangan.
Antaranya termasuk “baling batu sembunyi tangan”, “buruk muka cermin dibelah”, “ada udang di sebalik batu” dan “batu api”.
“Baling batu sembunyi tangan. Itulah peribahasa yang paling tepat untuk ditulis bagi krisis pentadbiran di Negeri Sembilan yang masih tidak nampak noktahnya.
“Batu api. Itulah ayat paling halus buat insan yang menyebabkan dua pihak berbalah,” katanya.
Pertelingkahan terbuka itu berlaku selepas Pemuda UMNO Negeri Sembilan sebelum ini menzahirkan rasa kesal terhadap keputusan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menangguhkan Sidang Dewan Undangan Negeri ke satu tarikh yang belum diketahui.
Dalam laporan SuaraTV pada 23 April lalu, Mohamad Fadil dilaporkan berkata keputusan itu dilihat seolah-olah tidak memikirkan nasib rakyat dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Beliau turut menegaskan DUN ialah tempat wakil rakyat yang dipilih membawa suara rakyat, justeru penangguhan sidang itu disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab serta pengkhianatan terhadap amanah rakyat.
Krisis pentadbiran Negeri Sembilan sebelum ini tercetus susulan penangguhan Sidang DUN selepas Istiadat Pembukaan Persidangan DUN dibayangi ketidakhadiran Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.
Perkembangan terbaru ini memperlihatkan ketegangan dalam Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan semakin terbuka apabila teguran Pemuda UMNO kini dibalas dengan dakwaan daripada pihak yang dikaitkan dengan pejabat Menteri Besar. – SuaraTV



