Kuala Lumpur: Penyanyi kumpulan Blues Gang, Ito Mohd menyifatkan masalah yang berlaku membabitkan kumpulan Search seperti hubungan keluarga yang adakalanya akan bergaduh.
Ito, 71, atau nama sebenarnya Mohd Arif Kendut berkata, tidak menghairankan apabila anggota Search bergaduh sehingga membuatkan ia terbahagi kepada dua kumpulan sekarang.
“Jangan cakap kumpulan, bahkan adik-beradik, anak-beranak semuanya akan bergaduh. Kami Blues Gang juga pernah bergaduh. Tapi bukanlah sampai pergi mengadu kepada media itu ini.
“Pada saya terutamanya kes Search, saya kenal Kid waktu usianya 13 tahun. Anggota Search sekampung. Insya-Allah suatu hari mereka akan bersatu kembali. Itu yang saya minta.
“Ikutkan dua Search itu yang mengelirukan. Saya tak boleh sokong mana-mana kerana dua-dua pun kawan saya dan kenal mereka sejak kecil. Nordin pun pernah terbabit dengan konsert Blues Gang dulu,” katanya yang ditemui pada pelancaran buku Blues Gang 48 Years Biophoto Boxset di Pasar Seni baru-baru ini.
Menurutnya, adalah bagus sekiranya kedua-dua Search ini boleh bertahan dan selepas itu bergabung dalam konsert besar.
“Saya rasa mereka akan jadi lebih hebat. Tak apalah sekarang mereka kecoh dulu tapi satu hari kita minta mereka bergabung semula.
“Benda ini bukan mustahil. Macam saya cakap mereka dari satu kampung iaitu Johor Bahru. Saya yakin mereka boleh bergabung.
“Saya sendiri pernah selepas 10 album dengan Blues Gang, saya keluar kumpulan dan buat solo. Manakala anggota yang tinggal teruskan perjuangan.
“Selepas menghasilkan 11 album solo, saya sertai mereka semula. Ia tak jadi masalah tapi akan jadi besar kalau kita jadikan ia masalah,” katanya.
Ito juga menganggap sesuatu yang tidak bagus apabila ada artis yang tidak sepatutnya, turut masuk campur mengecam kumpulan Search.
“Mereka sepatutnya simpan sikit komen itu. Macamlah mereka tak pernah buat salah. Paling bagus diam dan doakan. Kalau boleh biarlah Search sampai 50 tahun juga,” katanya.
Sementara itu buku Blues Gang 48 Years Biophoto Boxset tulisan Seir Rashid mengisahkan liku-liku perjuangan anggota Blues Gang iaitu Ito, Julian Mokhtar (gitar utama), Ghani Abu Talib (gitar kedua/keyboard), Shaik Karim (dram/vokal) dan mendiang Jim Madasamy (bass/vokal).
Buku ini dijual dengan harga RM150 dan boleh beli menerusi www.tempatanfest.com.my
Harian Metro