Malaysia Semak Semula Kes Batu Puteh -Wan Junaidi

KUALA LUMPUR- Kerajaan menyemak semula undang-undang kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan dan Pasukan Petugas Khas (PPK) memutuskan untuk menyemak semula undang-undang berhubung kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Katanya, mereka turut mengesyorkan opsyen terbaik mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes berkenaan dalam tempoh enam bulan.

Menurut Wan Junaidi, kerajaan komited dengan keputusan itu untuk memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin dan menjadi keutamaan.

“Jawatankuasa ini dan PPK telah menyediakan laporan interim yang dikemukakan dan dibentangkan kepada Menteri semalam,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata, PPK dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, manakala keahlian adalah Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin (peguam), Datuk Ahmad Nazri Yusof (mantan Duta Besar Malaysia ke The Hague), Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu (peguam); dan Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek (peguam).

Turut dilantik ialah Datuk Tengku Ahmad Fuad Tengku Ahmad Burhanuddin (peguam), Datuk Mohammed Ridha Abd. Kadir (wakil kerajaan Johor), Datuk Umar Saifuddin Jaafar (wakil Jabatan Peguam Negara), Sr. Hamdan Ab. Aziz (wakil JUPEM), dan Shaharudin Onn (wakil Kementerian Luar Negeri).

Menurut Dr. Wan Junaidi, sehingga kini PPK telah mengadakan 12 mesyuarat melibatkan beberapa siri mesyuarat dan jawatankuasa kecil yang ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Kecil Legal Aspects, Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance dan Jawatankuasa Kecil Hubungan Malaysia-Singapura.

“Pasukan Petugas Khas ini merupakan sebuah pasukan dengan kepelbagaian pengalaman, kepakaran dan pengetahuan yang menjadi kekuatan untuk menghasilkan dapatan dan opsyen yang terbaik bagi Malaysia.

“Secara umumnya, mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan ini telah mengambil maklum laporan interim yang dibentangkan oleh PPK dan turut memberikan input penambahbaikan untuk perhatian pasukan itu.

“Laporan akhir akan disedia dan dibentangkan dalam masa terdekat untuk pertimbangan Jemaah Menteri bagi menentukan tindakan selanjutnya,” katanya.