KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mempertikai strategi kerajaan terhadap perbezaan harga diesel yang amat ketara antara Semenanjung Malaysia berbanding Sabah dan Sarawak yang kekal jauh lebih rendah (RM2.15).
Setiauasaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, walaupun mungkin terdapat justifikasi tertentu berkaitan struktur subsidi dan pertimbangan ekonomi wilayah, jurang harga yang terlalu besar berisiko mewujudkan persepsi ketidakadilan dengan pengguna dan perniagaan di Semenanjung menanggung beban yang jauh lebih berat atau seolah-olah dihukum oleh kerajaan atas sebab-sebab tertentu.
Tegas beliau, keadaan ini menuntut penjelasan yang telus dan jujur bagi mengelakkan kekeliruan dan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.
“PN memandang serius kenaikan mendadak harga bahan api yang diumumkan hari ini melibatkan peningkatan sebanyak 60 sen bagi RON97 (RM5.15) dan RON95 tanpa subsidi (RM3.85) serta kenaikan sehingga 80 sen bagi diesel di Semenanjung Malaysia (RM5.52).
“Kenaikan besar dalam tempoh singkat ini amat membimbangkan kerana ia pasti memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat, khususnya melalui peningkatan kos pengangkutan, logistik, makanan serta barangan keperluan harian.
“Kenaikan harga diesel secara khusus dijangka memberi kesan berantai kepada keseluruhan ekonomi memandangkan ia digunakan secara meluas dalam sektor pengangkutan, pertanian, pembinaan dan industri,” jelas Setiausaha Agung Pas itu dalam kenyataan media pada Khamis.
Pun begitu Takiyuddin berkata, PN mengambil maklum bahawa kerajaan mengaitkan kenaikan ini dengan peningkatan harga minyak global serta ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Namun begitu ujarnya, rakyat berhak mengetahui sejauh mana kerajaan membuat persediaan dalam menghadapi perkembangan ini, termasuk pelan mitigasi bagi mengurangkan kesan ke atas isi rumah, peniaga serta perusahaan kecil dan sederhana.
“Timbul persoalan sama ada langkah-langkah yang diumumkan setakat ini berkesan dan mencukupi untuk benar- benar meringankan beban dan kebimbangan itu.
“Kenaikan mendadak ini juga menimbulkan persoalan sama ada kerajaan mempunyai strategi yang jelas dan menyeluruh dalam mengurus dasar subsidi bahan api, khususnya dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu,” katanya.
Sehubungan itu tegas beliau, PN menggesa kerajaan untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai faktor sebenar kenaikan mendadak harga bahan api.
“Juga mengumumkan langkah-langkah segera bagi mengurangkan kesan kenaikan itu terhadap kos sara hidup rakyat.
“Serta menjelaskan sama ada bantuan bersasar tambahan yang lebih bermakna akan diperluaskan kepada golongan terkesan.
“Menyatakan unjuran kerajaan berhubung kemungkinan kenaikan selanjutnya dalam tempoh terdekat,” cadangnya.
Selain itu Takiyuddin berkata, PN juga mencadangkan agar kerajaan menimbangkan pelaksanaan cukai durian runtuh sementara ke atas sektor dan syarikat yang mendapat manfaat daripada lonjakan harga komoditi global, termasuk sektor minyak dan industri berkaitan, supaya hasil tambahan tersebut dapat disalurkan bagi membantu meringankan beban rakyat.
Tegasnya lagi, kerajaan wajib mengutamakan kebajikan rakyat serta memastikan dasar yang dilaksanakan bersifat telus, bertanggungjawab dan berkesan.
“Kerajaan juga mesti bertindak segera bagi mengelakkan tekanan berterusan ke atas ekonomi Malaysia, selain memastikan perkembangan global yang tidak menentu tidak membebankan negara secara melampau,” seru beliau.



