KUALA LUMPUR — Kenaikan harga minyak global yang berterusan kini memberi tekanan hebat kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan B40 dan M40, apabila kos sara hidup meningkat secara mendadak.
Srikandi BERSATU Malaysia dalam satu kenyataan hari ini melahirkan kebimbangan terhadap kesan berantai daripada lonjakan harga bahan api, yang bukan sahaja meningkatkan kos pengangkutan dan logistik, malah turut menyebabkan harga makanan, barangan keperluan asas dan perkhidmatan harian terus melonjak.
Menurut Penolong Bendahari Srikandi BERSATU Malaysia, Jumiah Jonid, keadaan ini mencerminkan kegagalan pendekatan semasa dalam menangani tekanan kos sara hidup yang semakin meruncing.
“Rakyat tidak boleh terus dijadikan mangsa kepada kelemahan pendekatan yang tidak tegas dan tidak menyeluruh, manakala alasan berterusan yang diberikan kerajaan berhubung faktor global juga tidak lagi memadai dalam menangani beban yang semakin dirasai rakyat.
“Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa tekanan kos sara hidup semakin meruncing, khususnya dalam kalangan B40 dan M40 yang kini berhadapan dengan realiti hidup yang semakin mencabar dan tidak menentu,” katanya.
Jumiah berkata keadaan ini memerlukan tindakan segera dan menyeluruh bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
“Kerajaan perlu menstabilkan harga bahan api melalui mekanisme kawalan dan subsidi bersasar yang benar-benar berkesan, di samping memastikan penguatkuasaan tegas dilaksanakan bagi mengawal harga barangan asas daripada sebarang aktiviti pencatutan.
“Dalam masa yang sama, bantuan kepada golongan B40 dan M40 perlu diperkukuh secara segera dan menyeluruh agar mereka tidak terus terhimpit, selain sokongan kepada peniaga kecil serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu dipertingkatkan bagi menjamin kelangsungan ekonomi domestik,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan kenyataan yang melabel suara pembangkang sebagai ‘tidak berguna’ sebagai tidak membantu keadaan, malah bercanggah dengan prinsip semak dan imbang dalam sistem demokrasi.
“Melabelkan suara pembangkang sebagai tidak berguna bukan sahaja tidak membantu menyelesaikan masalah, malah mencerminkan kegagalan memahami denyut nadi rakyat yang sedang tertekan serta kepentingan semak dan imbang dalam sistem demokrasi.
“Kerajaan tidak boleh terus berselindung di sebalik ketidaktentuan ekonomi global tanpa mengemukakan pelan tindakan ekonomi yang jelas, telus dan berani kerana rakyat kini menuntut penyelesaian, bukan alasan,” katanya.



