Bayaran RM9.5 juta disalur adalah ‘yuran perkhidmatan’ hentikan permusuhan – Victor Chin

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan Victor Chin mendakwa bayaran RM9.5 juta, yang dipercayai disalurkan kepada kumpulan mafia korporat bukan bertujuan menyelesaikan kesnya dengan mana-mana agensi penguatkuasaan atau menutup sebarang siasatan dan menyelesaikan dakwaan salah laku terhadapnya.

Sebaliknya Victor mendakwa, bayaran itu adalah ‘yuran perkhidmatan’ yang dibuat dalam situasi yang amat terdesak bagi menghentikan permusuhan terhadap individu yang dipercayai ada kaitan dengannya.

Dakwa Victor, beliau dimaklumkan, pembayaran itu akan disalurkan kepada kumpulan mafia korporat bagi memuaskan hati mereka, menghentikan tindakan permusuhan terhadap mereka di sekelilingnya dan memberi beliau peluang kedua untuk meneruskan kehidupan.

“Letakkan diri anda di tempat saya. Saya berada di bawah tekanan yang sangat kuat daripada kumpulan mafia korporat. Mereka menekan dan memaksa saya untuk menyerahkan saham saya kepada mereka secara percuma.

“Bagi mencapai tujuan ini, mereka menyasarkan orang tersayang saya, rakan niaga, syarikat, sahabat, malah individu yang hanya dianggap mempunyai kaitan dengan saya.

“Mereka membekukan lebih 500 akaun milik individu yang dipercayai ada kaitan dengan saya. Dalam sekelip mata, gaji tidak dapat dibayar, pinjaman perumahan dan kenderaan tidak dapat dilunaskan.

“Semua individu dan syarikat yang terjejas berada dalam keadaan panik secara serentak dan mengalami tekanan kewangan serta mental yang serius,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Kelmarin, media melaporkan, Victor yang kini disiasat kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan mafia korporat memberi kata dua kepada seorang Ahli Parlimen PKR yang tidak dinamakan supaya memulangkan semula wangnya sebelum 30 Mac ini, selepas dikatakan gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi beliau atau beliau akan mendedahkan identiti Ahli Parlimen itu kepada umum.

Dalam satu kenyataan setebal 40 muka surat, Victor mendakwa, Ahli Parlimen itu meminta RM10 juta secara tunai daripadanya pada Oktober 2025, dengan mendakwa boleh menyelesaikan isu perundangan yang dihadapi Victor berhubung kes mafia korporat itu.

Victor mendakwa, beliau sudah membayar RM9.5 juta daripada jumlah itu, namun kini menuntut bayaran balik sepenuhnya kerana masalahnya itu tidak diselesaikan.

Mengulas lanjut, Victor mendakwa, beliau tidak mempunyai pilihan dan berasa amat bersalah kerana mereka yang berada di sekelilingnya menderita hanya kerana mengenali beliau atau pernah mendengar mengenainya.

Beliau mendakwa, pembayaran itu bertujuan melindungi mereka, sambil berharap dapat menamatkan kesengsaraan kewangan mereka dengan segera.

“Pembayaran RM9.5 juta itu hanyalah satu reaksi untuk menghentikan tindakan melampau oleh kumpulan mafia korporat.

“Kekayaan terbesar dalam hidup bukanlah wang tetapi ketenangan fikiran.

“Saya sanggup melakukan apa saja demi ketenangan fikiran mereka di sekeliling saya,” katanya memetik BH.

Pada masa sama, Victor menegaskan, beliau menyambut baik penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kegiatan mafia korporat itu atau apa-apa siasatan yang adil dan bebas bagi merungkai kebenaran sepenuhnya.

“Saya berharap ia akan dijalankan secara menyeluruh dan tanpa berat sebelah, merangkumi semua pihak yang terbabit atau berkaitan dengan perkara ini, dan tidak terhad kepada saya sebagai individu semata-mata,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat