KUALA LUMPUR – Umno tidak akan mampu membina semula kekuatan sewaktu zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum 2018 jika bekerjasama dengan Parti Bersatu.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad berkata, ini kerana perebutan pengundi Melayu dan pertindihan kawasan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan berlaku, sekali gus menyebabkan Umno tidak mampu bertanding lebih banyak kerusi Parlimen.
“Sekarang Umno ada 30 kerusi, jika bersama mereka, Umno hendak dapat 40 atau 50 kerusi pun susah. Lihat semula pada PRU lalu, kerusi yang Umno kalah banyak jatuh ke tangan Pas dan Bersatu.
“Jika Umno ingin kembalikan kerusi itu, mereka perlu lawan kedua-dua parti itu kerana Perikatan Nasional (PN) tidak sesekali akan serahkan kerusi mereka kepada Umno. Kalau serah, mereka akan kehilangan kekuatan parti masing-masing.
“Untuk masa sekarang, Umno tidak mampu dapat balik kerusi tradisi mereka. Maka sebab itu, kerjasama dengan Bersatu ibarat serah tengkuk dan memberi kelebihan kepada Bersatu,” lapor Utusan.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tiada sebab bagi Umno dan Bersatu terus berpecah jika mereka berkongsi perjuangan dan wadah politik sama.
Mengulas lanjut, Khalid tidak menolak pertindihan akan berlaku dalam Kerajaan Perpaduan, namun ia tidak sekritikal jika Umno bersama PN.
“Bukan saya kata dengan PH ini tiada pertindihan, ada, tetapi terlalu sedikit. Contohnya di kawasan Shah Alam, tetapi kebanyakan kerusi Umno kalah ada di tangan Bersatu dan Pas.
“Jadi, Umno perlu menggunakan peluang ini untuk mendapat pendedahan yang lebih besar kepada bukan Melayu. PH pun sama akan mendapat kelebihan yang besar untuk menarik kepercayaan Melayu,” katanya.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan pula menyifatkan langkah Bersatu itu cubaan untuk mendapat talian hayat daripada Umno apabila gagal mencapai kata sepakat calon Perdana Menteri.
“Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin sudah memberi bayangan tidak akan terlibat dalam cubaan ‘tebuk atap’ penggal ini. Namun, ada pihak-pihak dalam Pas masih mengimpikan pertukaran kerajaan sebelum PRU-16. Ini mengakibatkan ketegangan dalam PN.
“Ketua Pembangkang mungkin merasakan menghulurkan tangan pada Umno dapat memperbaharui usaha mereka untuk mengubah kerajaan. Tetapi, saya melihat Umno sudah jelas dengan komitmen mereka untuk bersama Kerajaan Madani,” katanya.