iQiyi umum usaha sama dengan Media Prima dan Celcom

Kuala Lumpur: Penyedia khidmat penstriman hiburan inovatif dalam talian iQIYI International mengukuhkan kedudukannya di negara ini melalui kerjasama strategik dengan Media Prima dan Celcom Axiata Berhad (Celcom).

Melalui pencapaian yang memberangsangkan pada akhir tahun 2020 dengan mencatat jumlah pengguna lebih 15 kali ganda, iQiyi mempertingkatkan lagi komitmennya melabur dalam ekosistem hiburan tempatan di Malaysia menerusi kerjasama dengan Primeworks Studio.

Pengurus iQiyi International Malaysia, Singapura dan Brunei Dinesh Ratnam berkata, pihaknya masih baharu dalam bidang penstriman di Malaysia namun memiliki impian besar bukan saja menambah jumlah pengguna tetapi berhasrat menambah baik katalog tontonan terbaik sekaligus menawarkan hiburan terbaik dari Asia.

“Kami sebuah platform penstriman yang paling pesat berkembang di Malaysia sejak lebih 12 bulan lalu.

“Kini, kami berazam menjadi pemacu utama ekosistem hiburan tempatan dengan menjalin hubungan jangka panjang yang erat antara pengguna serta rakan kongsi kami.

“Jadi, kerjasama dengan Primeworks Studio dan Celcom satu langkah amat strategik dan satu sinergi yang bakal membolehkan kami memberikan hiburan mutlak yang terbaik,” katanya.

Perjanjian tahunan dimeterai bersama Primeworks Studio memberikan iQiyi keutamaan hak tayangan untuk drama tempatan popular terbitan TV3.

Ini termasuklah drama popular utama yang boleh distrim menerusi platform iQiyi pada hari sama ia ditayangkan di TV3.

Kesemua judul TV3 ini ditempatkan dalam satu ruangan khas aplikasi iQiyi yang boleh diakses melalui pautan www.iQ.com/local.

Ruangan tontonan tempatan diberi nama ‘Local’ ini dijangka mengandungi lebih 1,000 jam senarai tontonan premium tempatan menjelang akhir tahun 2021.

Melalui kerjasama ini, jumlah penonton iQiyi bagi tontonan drama TV3 diperluaskan kepada pengguna di Singapura dan Brunei.

Mereka dapat menonton rancangan istimewa Ramadan dan Aidilfitri seperti Sabarlah Duhai Hati dan Cukup Derita Itu serta senarai tontonan popular yang amat dinantikan iaitu sambungan drama, 7 Hari Mencintaiku 2 dan Budak Tebing.

Selain hak penyiaran, komitmen kerjasama antara iQiyi dan Primeworks Studio juga memberikan kelebihan kepada pengguna yang inginkan akses ‘tontonan awal’ drama terbaharu bertajuk, Shah Alam 40000.

Selain, kerjasama dengan syarikat Primeworks Studio, iQiyi turut menjalin kerjasama dengan Celcom.

Kerjasama terjalin apabila Celcom menjadi syarikat telekomunikasi rasmi rancangan variasi terulung terbitan iQiyi iaitu Youth With You 3 (YWY3).

Rancangan variasi hit dari China ini mempunyai jumlah penonton tinggi di Malaysia menampilkan produksi berkualiti tinggi, pengalaman tontonan interaktif, serta dibarisi juri ternama seperti Lisa dari kumpulan BLACKPINK, Li Ronghao dan Will Pan.

Meluaskan capaian digital untuk pengguna di Malaysia dengan senarai tontonan hebat

iQiyi diiktiraf sebagai aplikasi penstriman over-the-top (OTT) yang paling banyak dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store, antara Ogos 2020 dan Februari 2021.

Ketua Pegawai Kreatif & Kandungan Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios Nini Yusof,  berkata, sebagai sebuah syarikat media berintegrasi bersama syarikat pengedar dan penciptaan kandungan terbesar negara iaitu Primeworks Studios, pihaknya percaya usaha sama dengan iQiyi selaras dengan strategi memperkembangkan capaian digital kepada lebih banyak pengguna premium bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Celcom Axiata Berhad T.Kugan K. Thirunavakarasu pula berkata, permintaan kandungan video dan hiburan terus meningkat dengan pantas meliputi lebih 13 juta pengguna melalui rangkaian kami yang paling luas (pada tahun 2020).

” Kami sedar pelanggan mahukan produk dan hiburan mempunyai nilai tambah, selaras dengan gaya hidup masa kini.

” Bagi memenuhi keperluan ini, kami akan merumuskan pakej eksklusif direka khusus dengan senarai tontonan tempatan, Korea dan antarabangsa untuk dinikmati pengguna sama ada di rumah, atau di mana sahaja.

” Kami percaya usaha sama strategik kami dengan iQiyi akan mengukuhkan kedudukan Celcom dalam arena telekomunikasi,” katanya.

Platform hiburan OTT terbaik di Asia, destinasi setempat untuk peniaga meluaskan perniagaan melalui pengiklanan

Data menunjukkan trend penggunaan platform penstriman yang amat memberangsangkan.

Melalui penyelidikan dijalankan oleh syarikat Nielsen, jumlah pendaftaran pengguna baru OTT atau platform penstriman adalah sekitar satu juta pengguna baharu untuk tahun lalu kepada jumlah 14.1 juta pengguna.

iQiyi pula mencatatkan 68 juta jumlah jam tontonan diplatformnya, hanya pada 2020 sahaja.

Dalam satu kaji selidik bebas mendapati, pengguna sanggup menonton iklan untuk bayaran langganan rendah atau tontonan percuma.

Melalui trend ini, iQiyi bertindak membuat pelaburan untuk solusi pemasaran digital.

Berazam untuk menjadi destinasi pilihan untuk jenama atau syarikat yang ingin memperkembangkan perniagaan mereka, iQiyi juga melantik Media Prima Omnia sebagai rakan pemasaran bukan eksklusif di Malaysia.

Dengan rangkaian jualan Media Prima Omnia meluas, ini membolehkan iQiyi menyediakan pakej khas dan bersesuaian untuk pengiklanan di platform iQiyi atau di saluran TV Media Prima.

Harian Metro

Topik Hangat

50 Buffet Ramadhan 2021 Kuala Lumpur Selangor

Bulan puasa kini menjengah, namun sudahkah anda jumpa destinasi buffet untuk sesi iftar nanti? Atau anda masih tercari-cari destinasi buffet yang mana yang patut anda...

UMNO 3.0 Sedia Singkir Zahid, Najib Termasuk Mat Hasan Ogos Ini : Laporan

KUALA LUMPUR - Spekulasi tersebar luas berkait rancangan yang sedang berjalan untuk menyingkirkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pendahulunya Datuk...

Saya Tak Tahu Suami dan Anak Zeti Terima Wang 1MDB – Mahathir

PETALING JAYA - Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak mengetahui berhubung dakwaan bahawa suami dan dua anak bekas gabenor Bank Negara,...

Berita Berkaitan

Apple bakal perkenal generasi iPad baharu Selasa ini

Pengeluar peranti pintar terkemuka, Apple bakal mengadakan acara pertamanya untuk tahun ini yang bertemakan 'Spring Loaded' pada Selasa ini. Ia adalah majlis pertama untuk Apple...

Artis serba boleh

MESKIPUN penularan Covid-19 dalam negara sejak tahun lalu, menghalang kebanyakan penyanyi terbabit dengan aktiviti persembahan, ia tidak mematahkan semangat penyanyi Atilia Haron untuk terus...

2.7 juta tonton konsert BTS

Seoul: Lebih 2.7 juta menonton konsert kumpulan BTS, BANG BANG CON 2021 di seluruh dunia yang berlangsung secara maya, kelmarin. Agensinya, Big Hit Music mengumumkan...