Pembangkang gesa RUU pemisahan Peguam Negara, had tempoh jawatan PM tak diteruskan

KUALA LUMPUR – Blok pembangkang mencadangkan kerajaan tidak meneruskan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) pemisahan kuasa Peguam Negara serta RUU berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri

Sebaliknya Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pembangkang mengesyorkan kedua-dua draf akta itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen terlebih dahulu.

“Pembangkang mengharapkan RUU ini dirujuk semula kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. Kalau boleh ditarik daripada dibentangkan untuk bacaan kali kedua Isnin ini.

“Sebaliknya, rujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan membuat pindaan-pindaan yang sewajarnya,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Khamis.

Mengulas kebimbangan pihak pembangkang terhadap RUU bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri sehingga 10 tahun, Takiyuddin mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung Pas itu mendakwa RUU berkenaan dianggap tidak berperlembagaan kerana didakwa menyentuh serta mengehadkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri.

Mengikut Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, katanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara dalam beberapa perkara tertentu termasuk pelantikan Perdana Menteri tanpa perlu terikat kepada nasihat mana-mana pihak.

“Perkara 43(2)(a) berbunyi Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri iaitu seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Tiada ada apa-apa syarat 10 tahun, 20 tahun, lima tahun… tidak ada. Jadi dengan membuat pindaan ini pada pandangan kami, ianya bercanggah dengan Perkara 40 prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan juga Perkara 43(2)(a) iaitu hak budi bicara untuk melantik Perdana Menteri siapa saja asal dia seorang Ahli Dewan Rakyat,” katanya lapor BH pada Khamis.

Pembangkang juga menyifatkan RUU pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang dibentangkan di Dewan Rakyat bukan satu reformasi menyeluruh, sebaliknya ia didakwa memindahkan kuasa sedia ada tanpa mewujudkan mekanisme semak dan imbang.

Takiyuddin berkata kebimbangan utama yang dibangkitkan sejak sekian lama oleh pembangkang serta masyarakat sivil adalah berkaitan keluasan kuasa Peguam Negara seperti diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding jenayah, kecuali prosiding di Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri dan Mahkamah Tentera.

“Kuasa ini bersifat mutlak atau absolute discretion, termasuk untuk memulakan, meneruskan atau menarik balik sesuatu pendakwaan. Inilah yang sekian lama menjadi kebimbangan masyarakat sivil kerana kuasa tersebut terlalu besar tanpa mekanisme semak dan imbang yang mencukupi,” katanya.

Melalui pindaan yang dicadangkan, beliau mendakwa apa berlaku hanyalah pemindahan kuasa secara ‘copy and paste’ (salin dan tampal) walaupun Perkara 145 dipinda dan kuasa Peguam Negara dilihat seolah-olah dikurangkan, dan peruntukan yang sama dipindahkan hampir sepenuhnya kepada Pendakwa Raya.

“Sebagai contoh, Perkara 145B(1) memperuntukkan bahawa Pendakwa Raya mempunyai kuasa menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan prosiding bagi sesuatu kesalahan dengan perkataan yang hampir sama seperti peruntukan terdahulu bagi Peguam Negara.

“Ini bermakna kuasa mutlak itu tidak dihapuskan, sebaliknya hanya dipindahkan daripada Peguam Negara kepada Pendakwa Raya. Perkara yang menjadi perhatian pihak pembangkang ialah ketiadaan mekanisme akauntabiliti dan semak imbang terhadap Pendakwa Raya.

“Seorang menteri bertanggungjawab kepada Parlimen dan Kabinet, namun Pendakwa Raya tidak bertanggungjawab secara langsung kepada mana-mana institusi dalam kerangka Perlembagaan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat