KUALA LUMPUR – Ciri-ciri calon yang dipilih bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning adalah boleh menang, boleh diterima dan disukai rakyat di kawasan tersebut.
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, jawatankuasa Umno Perak dan kepemimpinan Umno Bahagian Tapah bagi mengenal pasti calon berkelayakan.
“Ciri-ciri calon adalah wali, boleh menang, boleh diterima dan disukai rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kompleks Ladang Ternakan Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) Felcra Berhad di Tanjung Seratus, Kuala Rompin lapor Utusan di Pahang pada Rabu
PRK itu bakal diadakan susulan Adun Ayer Kuning Ishsam Shahruddin, 58, meninggal dunia setelah tidak sedarkan diri selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, Sabtu lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 menewaskan empat calon lain masing-masing dari PH, PN, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air.
Ditanya adakah calon daripada Pemuda Umno akan diketengahkan pada PRK DUN Air Kuning susulan rekod cemerlang pada siri PRK sebelum ini Zahid berkata, parti itu memberikan peluang kepada semua kumpulan.
“Kita akan menyenarai pendek bakal-bakal calon (dalam masa terdekat),” katanya.