KUALA LUMPUR – Kementerian Luar menegaskan Malaysia tidak menjalankan rundingan diplomatik dengan China berhubung isu Beting Patinggi Ali kerana ia jelas berada dalam kawasan maritim negara.
Pada masa sama, menurut Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin Malaysia kekal dengan pendirian untuk tidak mengiktiraf mana-mana tuntutan China di Laut China Selatan.
“Dalam hal ini, tiada status rundingan diplomatik dengan China berhubung isu Beting Patinggi Ali memandangkan ia sememangnya berada dalam kawasan maritim Malaysia berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.
“Malaysia juga tidak pernah mengiktiraf apa-apa tuntutan China di Laut China Selatan, berdasarkan Peta 9-Garis, konsep Empat-Sha atau mana-mana peta yang diterbitkan oleh Kerajaan Republik Rakyat China, yang meliputi kawasan maritim Malaysia,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) yang ingin tahu status rundingan diplomatik terkini dengan negara China berkenaan isu Beting Patinggi Ali dan adakah kerajaan sedar tindakan China mencerobohi kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan tindakan susulan berhubung situasi ini.
Mohamad turut menegaskan, kerajaan sentiasa mengambil berat akan keselamatan perairan negara di Laut China Selatan termasuk di kawasan Beting Patinggi Ali.
Ini termasuk memantau rapat sebarang perkembangan dan situasi semasa di kawasan itu dengan kerjasama pelbagai kementerian serta agensi berkaitan bagi memastikan isu terbabit ditangani dengan segera dan efisien tanpa menimbulkan sebarang ketegangan di lapangan.
Katanya kerajaan menggunakan ‘whole of government’ untuk menyelaras tindakan diambil oleh kerajaan untuk menjamin keselamatan perairan Malaysia, lapor BH.
Sementara itu, Shahidan ketika mengajukan soalan tambahan, mendakwa berlaku ‘kebocoran’ maklumat melalui satu dokumen, yang mana Duta Malaysia dikatakan mengemukakan bantahan berikutan China mengarahkan Malaysia supaya menghentikan aktiviti minyak di kawasan Beting Patinggi Ali.
Beliau turut menyangkal jawapan Mohamad yang memaklumkan aktiviti ekonomi berjalan seperti biasa dan diteruskan di kawasan itu.
“Yang Berhormat kata, aktiviti ekonomi di sana diteruskan, sedangkan tak ada (aktiviti ekonomi) yang boleh buat di sana, nelayan pun diminta balik. Dalam Kabinet siapa pernah pergi Beting Patinggi Ali, satu tempat sumber gas dan minyak terbesar di dunia. Pernahkah kita pergi ke sana?
“Kita hadapi masalah sebab kapal pengawal China di sana lebih besar berbanding kapal kecil milikAgensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan kapal tentera laut kita. Jadi saya nak tahu apakah benar? Jika benar kami mahu tindakan diambil tiga bulan daripada sekarang,” katanya.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis, menafikan semua dakwaan Shahidan yang disifatkan tidak tepat.
“Arau kata tak berlaku aktiviti ekonomi, silap sebenarnya. Di kawasan itu ada dua aktiviti eksporasi minyak dan gas sedang berjalan. Ini di bawah kendalian PETRONAS, dan ada satu lagi yang sedang dibina.
“Di kawasan ini memang sedang berjalan aktiviti ekonomi. Itu sebabnya agensi penguatkusa sentiasa digerakkan bagi memastikan kerja itu dapat berjalan dengan baik,” katanya.