Sultan Ibrahim harap pemerintahan baginda berjaya raih lebihan fiskal setiap tahun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berharap semasa pemerintahan lima tahunnya kerajaan akan berjaya memperoleh lebihan fiskal setiap tahun.

“Saya juga sendiri akan melihat perbelanjaan kerajaan dengan lebih teliti dan memastikan setiap cadangan perbelanjaan adalah untuk perkara yang betul-betul diperlukan.

“Saya berharap semasa pemerintahan Saya ini, Kerajaan akan berjaya memperoleh lebihan fiskal setiap tahun,” titah baginda.

Dalam titah baginda ketika Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-15 pada Isnin, Sultan Ibrahim berasa amat kecewa apabila dimaklumkan bahawa kerajaan hari ini sedang menanggung beban hutang yang semakin besar.

Katanya, ini kerana sejak tahun 1998 kerajaan sentiasa berada dalam kedudukan defisit fiskal.

“Adakah beban hutang ini yang akan kita tinggalkan untuk ditanggung oleh anak cucu kita nanti? soal Sultan Ibrahim.

Titah baginda, dengan keadaan kewangan kerajaan yang lemah ini, adalah sukar untuk Kerajaan melaksanakan projek pembangunan baharu atau memberikan suntikan kewangan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi.

“Oleh itu, saya menyokong hasrat kerajaan untuk mengambil langkah penjimatan yang drastik dan melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar.

“Dalam pada itu, dasar-dasar baharu perlu terus diperkenalkan untuk melengkapi dasar-dasar nasional yang lain seiring dengan pendekatan negara yang lebih menyeluruh.

“Antaranya pengenalan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang merupakan inisiatif pembaharuan fiskal bagi meningkatkan tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dan pengurusan kewangan awam,” titahnya.

Mengulas lanjut, Sultan Ibrahim bertitah, kedudukan ekonomi Malaysia pada tahun 2023 telah berkembang sebanyak 3.7 peratus pada tahun 2023 dan kekal mampan walaupun prestasi pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global berada pada tahap sederhana.

“Kadar pengangguran negara berada pada tahap 3.3 peratus pada tahun 2023 dan kadar inflasi sebanyak 2.5 peratus sepanjang tahun 2023.

“Jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun 2023 adalah sebanyak RM329.5 bilion dan telah mencipta lebih 127,000 peluang pekerjaan dalam tempoh yang sama. Bagi perdagangan antarabangsa pula, eksport negara telah mencatat nilai sebanyak RM1.426 trilion pada tahun 2023.

“Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada tahun 2024 diunjurkan berada pada tahap antara 4 peratus hingga 5 peratus disokong oleh langkah dan pembaharuan yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2024 tempoh hari.

“Sebagai langkah jangka sederhana, kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang telah dilancarkan merupakan komitmen Kerajaan untuk merancakkan dan menstruktur semula aktiviti ekonomi serta pelaburan. Beberapa dokumen utama telah diperkenalkan selari dengan hasrat ini iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas dan Belanjawan 2024 yang bakal mengangkat taraf hidup rakyat ke tahap yang lebih tinggi dan sejahtera berlandaskan keadilan sejagat.

“Saya juga amat berharap agar kerajaan mengambil pendekatan yang proaktif dalam melaksanakan agenda pembaharuan untuk memperkukuh daya saing negara sebagai sebuah ekonomi yang mampan sejajar dengan keperluan semasa.

“Kerajaan juga perlu menyediakan insentif yang menarik dan memudahkan segala urusan melalui tadbir urus yang cekap. Polisi yang dibuat di peringkat Persekutuan juga hendaklah disesuaikan dengan keadaan persekitaran di negeri-negeri kerana setiap negeri mempunyai keadaan yang berbeza-beza, terutama dalam sektor pembangunan hartanah,” katanya.

Tambah baginda lagi, dengan peningkatan taraf sistem pendidikan tinggi dalam negara, ramai graduan yang bermutu tinggi telah berjaya dihasilkan. Namun, peluang pekerjaan yang ditawarkan pada masa ini adalah tidak setaraf dengan kelayakan yang mereka miliki.

“Oleh yang demikian, kerajaan perlu berusaha menarik pelaburan yang bernilai tinggi supaya peluang pekerjaan yang dihasilkan akan memberi pendapatan yang berpatutan,” titah Sultan Ibrahim.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat