Kerajaan, pembangkang wajar letakkan ekonomi rakyat sebagai keutamaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya kerajaan dan pembangkang mengetepikan kepentingan politik dan peribadi dengan meletakkan ekonomi rakyat sebagai keutamaan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyeru, pembangkang perlu mengetepikan perbezaan politik untuk bersama-sama dengan kerajaan bagi mengembalikan semula ekonomi negara ke landasan yang betul demi rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Titiwangsa itu, meskipun terdapat perbezaan fahaman dan perjuangan antara kerajaan dengan pembangkang, namun kedua-dua pasukan harus bersepakat atas kapasiti mengukuhkan ekonomi Malaysia.

“Tiada yang lebih utama selain semua pihak mengutamakan rakyat dan ekonomi negara. Untuk kita membawa kembali ekonomi negara ke tahap yang sewajarnya, ia harus bermula dengan langkah bekerja bersama-sama dan mengetepikan ego hanya disebabkan kita mungkin berbeza haluan.

“Perbezaan tersebut tidak seharusnya menjadi jurang pemisah kerana walau siapa pun parti politik yang kita sandarkan, ia tidak bermakna kita selama-lamanya harus renggang. Kita boleh bersatu hati dalam keadaan tertentu seperti ekonomi rakyat dan negara,” kata Johari lapor Utusan pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai menyahut seruan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu kerajaan dan pembangkang bersatu dan berganding bahu untuk membangunkan negara demi rakyat.

Sultan Ibrahim ketika merasmikan Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ke-15 menyeru semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang untuk bersatu hati dan berganding bahu serta bekerjasama membangunkan negara demi kepentingan keseluruhan rakyat Malaysia.

Seri Paduka berharap semua Ahli Parlimen menumpukan usaha membela hidup rakyat dan bukannya kepentingan parti politik dan diri sendiri.

Johari turut menzahirkan penghargaan kepada titah Yang di-Pertuan Agong yang tidak mahu melayani permintaan mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.

“Titah Seri Paduka amat jelas yang meminta jika mahu bermain politik kena tunggu semasa pilihan raya seterusnya.

“Dengan titah tersebut, saya percaya tidak akan ada perubahan dalam kerajaan sehingga 2027,” katanya.

Semasa Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ke-15 semalam, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa kecewa apabila mendapat makluman kerajaan sedang menanggung beban hutang yang semakin besar kerana negara sentiasa berada dalam kedudukan defisit fiskal sejak 1998.

Sehubungan itu, Seri Paduka menyokong hasrat kerajaan mengambil langkah penjimatan yang drastik dan melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar.

Titah Seri Paduka, dasar-dasar baharu perlu terus diperkenal untuk melengkapi dasar-dasar nasional lain seiring dengan pendekatan negara yang lebih menyeluruh.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat