Pembedahan bariatrik bukan nak cantik sahaja – Anim Ezati

- Advertisement -

PETALING JAYA: Sukar mengurangkan berat badan yang melebihi 100 kilogram (kg), pengacara, Anim Ezati mengaku menjalani pembedahan bariatrik demi kesihatan dan tubuh ideal.

Berdepan masalah obesiti selepas melahirkan anak, Anim atau nama sebenar, Anim Ezati Rizki Md Khalid, 30, mendapatkan nasihat doktor pakar sebelum memutuskan menjalani pembedahan bariatrik.

“Selepas melahirkan anak pada 2020, berat badan saya naik mendadak. Saya putuskan menjalani pembedahan bariatrik pada Mei tahun lalu selepas membuat pemeriksaan dan mendapat nasihat doktor pakar.

“Selain obesiti, saya juga ada masalah hati berlemak, kolesterol tinggi dan masalah gastrik kronik atau refluks gastroesofagus (Gerd).

 

Berat badan Anim kini menurun kepada 53 kg selepas menjalani pembedahan bariatrik. Foto IG Anim Ezati
Berat badan Anim kini menurun kepada 53 kg selepas menjalani pembedahan bariatrik. Foto IG Anim Ezati

 

“Alhamdulillah, selepas pembedahan dan menjaga pemakanan, masalah kesihatan berjaya diatasi. Sekarang berat badan saya turun hingga 53 kg,” katanya.

Anim menjelaskan, pembedahan bariatrik bukanlah bertujuan untuk kecantikan semata-mata, sebaliknya, sebagai suatu alternatif perubatan.

“Ramai orang salah faham dan sembunyikan prosedur bariatrik yang dibuat kerana berpendapat ia pembedahan kosmetik dan potong usus.

“Hakikatnya, bukan semua orang boleh buat prosedur ini. Mereka perlu berjumpa doktor untuk buat pemeriksaan kesihatan. Doktor akan beri nasihat prosedur sesuai untuk masalah kesihatan yang dihadapi.

“Kos pembedahan bariatrik juga mencecah puluhan ribu ringgit bergantung kepada hospital yang dipilih,” katanya ditemui pada sesi temubual bersama penerbit dan barisan hos baharu program Helo Doktor musim keenam terbitan TV3 di Sri Pentas di sini, baru-baru ini.

Anim mengendalikan program Helo Doktor musim keenam yang akan disiarkan TV3 setiap Ahad mulai jam 5.30 petang bersama dua lagi pengacara iaitu Nadia Azmi dan Adriana Adnan.

Helo Doktor turut menampilkan tiga segmen baharu iaitu Doctor In The House, Diari Doktor dan Fakta Atau Mitos.

Helo Doktor musim keenam yang mula disiarkan sejak 1 Januari lalu mengupas pelbagai isu kesihatan bersama panel jemputan dengan latar belakang perubatan.

Berita Harian
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat