Banjir: Proses Baik Pulih Infrastruktur Komunikasi Mudah Alih 60 Peratus Siap – Annuar

- Advertisement -

BENTONG – Proses baik pulih infrastruktur komunikasi mudah alih yang terjejas akibat banjir di seluruh negara sedang dilipat ganda dan kini berada pada tahap 60 peratus siap, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata terdapat lebih 800 menara telekomunikasi yang dikenal pasti terjejas akibat bencana itu di seluruh negara dan kira-kira 500 siap dibaik pulih.

“Sebahagian kerosakan boleh dibaiki dengan cepat sekiranya bekalan elektrik kembali pulih manakala sebahagian peralatan memerlukan penggantian disebabkan ditenggelami air,” katanya kepada pemberita pada program bantuan pascabanjir di sini hari ini.

Beliau berkata kementeriannya juga mengambil langkah menyediakan generator di lokasi infrastruktur komunikasi yang tiada bekalan elektrik selain memasang ‘Coverage on Wheels’ (COW) iaitu sistem pemancar mudah alih bagi memberi liputan sementara yang lazimnya digunakan sewaktu bencana dan kecemasan oleh pembekal perkhidmatan.

Terdahulu, Annuar mengetuai misi pascabanjir di Janda Baik, Bentong, Karak dan Temerloh di Pahang bermula pada 10 pagi tadi.

Misi tersebut menyerahkan bantuan barangan keperluan seperti bakul makanan, selimut, tilam dan tuala kepada lebih 1,000 penerima.

Ditanya mengenai pertikaian berkenaan aduan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berkaitan beberapa hantaran dan tanda pagar jelik kepada pihak penyedia platform Twitter, Annuar menegaskan tindakan itu dibuat berdasarkan akta dan demi kepentingan awam.

Beliau berkata tindakan juga diambil susulan aduan daripada orang awam mengenai hantaran dan tanda pagar jelik yang disifatkan boleh menimbulkan ketegangan dan berunsur hasutan.

“Bila ada aduan (daripada pengguna), MCMC kena bertindak, sama ada Twitter nak layan atau tak, itu soal lain,” katanya.

Bagaimanapun, Annuar berkata pihaknya menghormati keputusan pengurusan media sosial itu dan memahami pihak tersebut mempunyai polisi dan pandangan tersendiri.

Sebelum ini isu berkenaan aduan MCMC untuk menurunkan beberapa hantaran dan tanda pagar yang disifatkan jelik kepada pihak Twitter menjadi tular dan perbualan hangat netizen. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat