“Tatakelola Terkubur” – ARMADA Desak SPRM Siasat Dakwaan Albert Tei Mengenai Sogokan RM629,000 yang Melibatkan Supol PM

PETALING JAYA, – Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bersatu Malaysia menggesa siasatan segera dijalankan terhadap dakwaan sogokan bernilai RM629,000 yang dikemukakan oleh ahli perniagaan, Albert Tei, membabitkan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin. 

Dalam kenyataan medianya bertajuk “Tatakelola Baik Terkubur di Pejabat Perdana Menteri”, ARMADA berkata dakwaan itu melibatkan pemberian wang tunai dalam Ringgit Malaysia dan Dolar Amerika Syarikat, kos pengubahsuaian dua hartanah, pembelian perabot, mesin basuh, serta barangan peribadi lain seperti sut dan cerut, dengan jumlah keseluruhan sekitar RM629,000. 

ARMADA berpandangan bukti yang didedahkan, termasuk gambar serta tangkapan layar perbualan WhatsApp, mempunyai merit yang kukuh dan tidak boleh dipandang ringan.

Sehubungan itu, ARMADA mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara menjalankan siasatan bebas dan telus tanpa sebarang campur tangan politik. 

Dalam masa sama, ARMADA turut membangkitkan kebimbangan terhadap budaya penghantaran surat sokongan daripada pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri berkaitan rekomendasi kontraktor hospital yang disifatkan boleh menekan penjawat awam dan menjejaskan keputusan berasaskan merit. 

Justeru, ARMADA mencadangkan penubuhan satu unit pemantauan khas SPRM di Pejabat Perdana Menteri bagi memantau urusan kakitangan politik dan pentadbiran di pejabat tersebut.

“Kenyataan ini menunjukkan tatakelola baik bukan sahaja tercalar, malah seolah-olah ‘terkubur’ di pusat kuasa negara,” menurut kenyataan itu yang ditandatangani oleh Ketua Penerangan ARMADA Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid.  

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat