KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberitahu antara faktor kenaikan harga sayur-sayuran yang tinggi di dalam pasaran tempatan mempunyai perkaitan dengan kenaikan harga baja dan racun di pasaran dunia.

Susulan kenaikan mendadak sayur-sayuran, Menteri KPDNHEP berkata, beliau telah menghadiri mesyuarat libat urus di antara Kementerian Kewangan yang diketuai oleh Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

“Di dalam mesyuarat tersebut, antara isu berbangkit yang telah dibincangkan bersama-sama melibatkan isu kenaikan harga makanan terutamanya harga ayam dan sayur-sayuran yang mengalami kenaikan harga yang tinggi di dalam pasaran.

“Mesyuarat telah dimaklumkan bahawa antara faktor kenaikan harga sayur-sayuran yang tinggi di dalam pasaran tempatan mempunyai perkaitan dengan kenaikan harga baja dan racun di pasaran dunia.

“Oleh itu, beberapa pelan tindakan sedang dirangka melibatkan ketiga-tiga kementerian dan saya amat berharap tindakan ini dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin bagi membantu pengguna dan peniaga yang terkesan teruk,” jelasnya.