Festival ‘Nada Danau’ akan membawa fiesta budaya, sastera serta nyanyian yang akan berlangsung selama 2 hari iaitu pada 3 dan 4 November, bertempat di Hentian Amanjaya Royal Belum Pulau Banding, Taman Negeri Royal Belum, Perak.
Tujuan festival selama 2 hari itu akan mendekatkan lagi masyarakat untuk lebih memahami konsep kepuisian, pengisian sastera dan susastera, sekali gus memberi ruang kepada orang ramai menikmati keindahan bahasa serta budaya kebangsaan.
Umar Uzair, Penerima anugerah Penyair Muda ASEAN 2015 yang juga Pengarah Festival ‘Nada Danau’ tu berkata, acara tersebut menjadi titik penggerak kepada pengkarya untuk berfikir secara kreatif dan berani keluar daripada kepompong keselesaan serta mengangkat dan membawa karya seni kreatif keluar dari ruang lingkup rijid.
Meskipun pernah mengusahakan beberapa siri festival berskala besar, penganjuran Festival Nada Danau bagi Uzair, membawa cabaran dan harapan berbeza, terutama dalam memastikan pengisian yang lebih padat, ampuh serta berimpak.
Secara dasarnya, Ujar Uzair, Festival Nada Danau merupakan sebuah festival yang menggabungkan pelbagai elemen, termasuk pameran, jualan seni kraf tempatan, pameran haiwan dan alam sekitar.
“Festival ini dihangatkan lagi dengan penganjuran konsert muzikalisasi puisi yang menyatukan penyair dan penyanyi popular tempatan seperti penerima Anugerah Sastera Asia Tenggara 2000, Datuk Dr. Lim Swee Tin; Dayang Nurfaizah; Ernie Zakri dan Bell Ngasri.
“Ia dimeriahkan lagi dengan kemunculan Deklamtor Kebangsaan, Lin Haslinaz, Shirley Idris, Bah Bola dan Kumpulan Kesenian Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam persembahan seni kontemporari yang akan dikemudikan Arja Lee serta Zack Kirana.
“Syukur usaha ini mendapat kerjasama akrab daripada Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya, kerajaan Negeri Perak, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Majlis Daerah Gerik dan Belum Rainforest Resort,” katanya.
“Menerusi festival ini, pengunjung dapat mengenali syair, nazam, gurindam, sajak dan pelbagai cabang puisi yang disampaikan dalam bentuk muzikalisasi.
“Dengan penganjuran acara yang lebih besar, saya yakin perhatian masyarakat terhadap pengembangan sastera, puisi dan bahasa kebangsaan dapat disebar luas dan dijayakan dengan lebih efektif,” katanya.
Sepanjang dua hari acara, pengunjung disajikan dengan pengisian seperti Kampung Budaya (bermula dari jam 10 pagi hingga 7.30 malam), selain Kampung Puisi (jam 34 petang), Muzika Danauloka (persembahan Dikir Barat: jam 2-3 petang dan Mak Yong: jam 4 – 4.30 petang oleh penuntut UMK), disusuli acara kemuncak iaitu Konsert Nada Danau pada jam 6 petang.
“Mungkin kebanyakan yang hadir tidak mengenali dan memahami susastera, namun kehadiran mereka secara tidak langsung dapat memperkenalkan puisi dan sastera serta membuka mata terhadap potensi muzikalisasi sebagai sebuah persembahan yang menarik.
“Saya amat berharap persembahan seni kontemporari ini dapat menampilkan sisi lain setiap artis agar ia tidak menjadi sebuah persembahan yang klise. Seperti dalam Festival Nada Danau, kehadiran Bell Ngasri bukan atas kapasiti sebagai pelawak semata-mata, sebaliknya sebagai aktor berkaliber,” katanya.
Festival Nada Danau turut mendedahkan pengunjung kepada memupuk pemeliharaan, kajian dan pemuliharaan alam semula jadi serta keprihatinan terhadap spesis terancam, pencemaran dan perubahan iklim dalam usaha menyokong WWFMalaysia.