Staff MRT positif Covid-19

- Advertisement -

CYBERJAYA: Seorang kakitangan operasi Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang disahkan positif Covid-19 dan kini dikuarantin di Hospital Sungai Buloh.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan memaklumkan kakitangan berkenaan, yang berkhidmat sebagai pengendali tren atau ‘transit officer’ bertugas buat kali terakhir pada 21 Oktober 2020.

Prasarana memaklumkan Rapid Rail, yang menjadi operator untuk MRT Laluan Kajang telah melaksanakan kerja-kerja disinfektasi dan pembersihan tempat kerja staf berkenaan.

“Kerja pembersihan bermula semalam berpandukan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Tren-tren pula sememangnya ditetapkan untuk menjalani kerja-kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap malam selepas operasi pada hari berkenaan,” kata kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua kakitangan lain yang mempunyai kontak rapat dengan staf berkenaan telah diminta untuk menjalani ujian saringan dan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari seperti yang ditetapkan di bawah prosedur operasi standard (SOP) KKM.

“Semua agensi-agensi berwajib termasuk Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah dimaklumkan tentang langkah-langkah yang diambil.

“Pihak pengurusan dan staf Prasarana khususnya di Rapid Rail dan Rapid Bas telah dilatih untuk menerapkan piawaian dan protokol tertinggi untuk kebersihan dan sanitasi berkaitan Covid-19 selaras dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh KKM,” ujarnya lagi.

Tambah kenyataan itu, perkhidmatan MRT Laluan Kajang dan semua perkhidmatan pengangkutan awam lain kendalian Prasarana – LRT, monorel, Bas Rapid Transit dan bas henti-henti adalah selamat digunakan.

Selain itu, katanya, semua pengguna diingatkan supaya mengikuti dengan rapi SOP yang telah ditetapkan khususnya pemakaian pelitup muka dengan kemas sepanjang masa, sentiasa mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman serta mengambil suhu badan dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau di buku log sebelum memasuki tren.

“Langkah-langkah ini adalah penting untuk kita bersama-sama memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di samping memudahkan KKM membuat pengesanan semula sekiranya ada kes positif Covid-19.

“Kami komited menjalankan langkah-langkah yang dapat melindungi kesihatan dan keselamatan penumpang dan juga staf,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat