Stadium Kosong Jadi Alasan Solskjaer

- Advertisement -

MANCHESTER, United Kingdom: Ole Gunnar Solskjaer menjadikan ketiadaan penyokong di Old Trafford sebagai alasan kegagalan skuadnya memburu kemenangan di laman sendiri susulan keputusan seri 0-0 menentang Chelsea.

Ini adalah kali pertama dalam tempoh 48 tahun United gagal meraih kemenangan di laman sendiri pada tiga perlawanan pertama liga.

Penyerang Uruguay Edinson Cavani hampir menjaringkan gol pada penampilan pertamanya selepas dimasukkan pada babak kedua, tetapi benteng Chelsea terlalu kebal buat United.

Ditewaskan oleh Crystal Palace pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris musim ini dan dibelasah 6-1 oleh Tottenham Hotspur dalam aksi di Old Trafford sebelum ini, United sekali lagi mempamerkan aksi hambar di dalam stadium kosong.

Satu-satunya kemenangan United dalam enam aksi terakhir di laman sendiri ialah ketika menewaskan kelab Austria LASK dalam saingan Liga Europa.

“Di babak kedua, kami menggandakan asakan dan jika Stretford End penuh mungkin kami dapat menjaringkan gol, kerana ia meningkatkan tekanan dan kesungguhan.

“Kami merindui peminat. Ia sama untuk semua pasukan tetapi saya rasa semua orang bersetuju yang kelebihan itu sudah hilang dan saya tidak sabar untuk melihat mereka kembali,” kata Solskjaer.

United kini di tangga ke-15 liga dan berpeluang menebus kehampaan apabila melayan kunjungan Leipzig dalam aksi Liga Juara-Juara serta Arsenal bagi saingan Liga Perdana.

Sementara itu pengendali Chelsea Frank Lampard berpuas hati dapat mengutip satu mata dan tidak dibolosi di Old Trafford.

Chelsea dibolosi 63 kali dalam 43 perlawanan Liga Perdana di bawah kendalian Lampard, kadar paling buruk untuk mana-mana pengendali tetap kelab itu.

“Kami mahu lebih daripada satu mata tetapi bertandang ke Manchester United dan tidak dibolosi adalah asas yang kuat,” kata Lampard. – AFP

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat