KUALA LUMPUR- Petugas media ‘berkampung’ di luar pintu Istana Negara menantikan persidangan Majlis Raja-Raja Melayu yang dijadual bermula jam 2:30 petang ini.
Fokus utama persidangan ini ialah membincangkan cadangan-cadangan dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah mengenai keputusan terhadap cadangan berkenaan, pandangan daripada raja-raja Melayu diambil kira.
Perbincangan melibatkan beberapa cadangan yang dipersembahkan oleh kerajaan terutamanya mengenai penularan Covid-19.
Pertemuan khas itu difahamkan hanya akan melibatkan Raja-Raja Melayu dan tidak akan melibatkan Yang di-Pertua Negeri atau mana-mana ahli politik.
Menurut laporan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak untuk mengisytiharkan darurat namun perkara itu akan dibincangkan bersama Raja-Raja Melayu.
Difahamkan, sekurang-sekurangnya enam Sultan sudah mengesahkan keberangkatan baginda dan dijangka kesemua Raja-Raja Melayu akan berkenan berangkat menghadiri pertemuan tersebut.
Setakat ini kelihatan lebih 50 petugas media ‘standby’ di luar pekarangan Istana Negara.