KKM Cadang Sambung PKPB Di Lembah Klang Jika Kes COVID-19 Terus Naik

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya menyambung Perintah Kawalan Bergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang akan tamat pada 27 Okt ini jika kes COVID-19 terus meningkat.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata buat masa ini kementerian sedang memantau data kes setiap hari bagi melihat sama ada PKPB di negeri berkenaan perlu disambung.

“Data itu akan kita sebarkan, masing-masing kita (akan) tahu sama ada perlu sambung (PKPB) atau tidak. Tetapi yang nyata pada hari ini kes semakin meningkat,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata hari ini terdapat 76 kes baharu COVID-19 di Selangor menjadikan jumlah keseluruhan 3,880 kes.

Katanya negeri itu mencatatkan kenaikan 1,279 kes positif dalam tempoh 14 hari berbanding pada 11 Okt yang hanya merekodkan 26 kes baharu dengan jumlah kumulatif 2,601 kes.

Dr Noor Hisham berkata kenaikan kes itu juga mengakibatkan jumlah Zon Merah di negeri Selangor meningkat daripada dua kepada enam daerah dalam tempoh 14 hari.

“Kenaikan paling ketara adalah dalam Daerah Hulu Langat (168 kes), Klang (115 kes) dan Gombak (93 kes). Peningkatan kes penularan tempatan di dalam negeri Selangor mula dilihat pada 2 Okt 2020 dan meningkat secara konsisten sehingga ke hari ini,” katanya.

Tiga lagi daerah yang merupakan Zon Merah ialah Daerah Petaling, Kuala Langat dan Sepang.

Menurut Dr Noor Hisham, penularan COVID-19 di Selangor dalam gelombang ketiga pada mulanya hanya melibatkan kes yang mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah melibatkan sembilan kluster, namun kemudian berlaku penularan tempatan melibatkan 35 kluster aktif.

“Mutakhir ini iaitu mulai 11 Okt 2020, penularan tempatan di Selangor mula mengakibatkan kluster berkaitan tempat kerja, di mana setakat ini enam kluster dikesan di Selangor,” katanya.

Oleh itu, Dr Noor Hisham berkata selain meneruskan saringan COVID-19 di semua pintu masuk antarabangsa dan domestik bagi pengunjung pulang dari Sabah, PKPB di Lembah Klang dilaksanakan berkuat kuasa 14 Okt lepas, manakala pekerja peringkat pengurusan dan pengawasan sektor awam dan industri dibenarkan bekerja dari rumah berkuat kuasa 22 Okt.

Untuk itu, katanya majikan bertanggungjawab untuk mengambil tindakan kepada pekerja yang dibenarkan bekerja dari rumah tetapi tidak menjalankan tugas yang diberikan kerana keluar melakukan aktiviti sosial seperti bersiar-siar, membeli-belah dan sebagainya.

“Contohnya saya berpengalaman duduk di rumah untuk tempoh 14 hari. Pada awalnya mungkin saya rasa duduk rumah tidak banyak kerja tetapi untuk tempoh 14 hari, saya rasa saya kerja 14 hari.

“Pukul 8 pagi saya mesyuarat sampai pukul 2 atau 3 (petang), pukul 5 petang Facebook live (siaran langsung sidang media ), lepas pukul 5 petang update (kemas kini) informasi di dalam sosial media sampai pukul 8 atau 9 malam, tiap-tiap hari untuk 14 hari. Tiada masa untuk keluar rumah sebab kita ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI),“ katanya.

Dr Noor Hisham berkata tujuan utama bekerja dari rumah supaya lebih ramai duduk di rumah, mengurangkan pergerakan masyarakat dan kebolehjangkitan virus COVID-19 di dalam kawasan PKPB.

Beliau juga memohon semua majikan dan pekerja untuk mematuhi ketetapan ini kerana ia akan membantu mengurangkan risiko penularan di kawasan tempat kerja.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat