Persidangan Penyiaran 5G Teroka Teknologi Masa Depan Industri Penyiaran Negara

PUTRAJAYA, 25 September – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Persidangan Penyiaran 5G (5G Broadcast Conference) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang berlangsung sehari di Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Persidangan yang menghimpunkan lebih 400 peserta daripada pelbagai sektor industri dan agensi berkepentingan ini merupakan kesinambungan kepada Kajian Teknologi Penyiaran Masa Hadapan oleh MCMC sejak 2023. Kajian tersebut memberi tumpuan kepada potensi teknologi baharu seperti Penyiaran 5G dalam memperkasa industri penyiaran tempatan merangkumi siaran televisyen, radio dan penstriman digital.

Hasil kajian menunjukkan teknologi ini berupaya mengoptimumkan infrastruktur sedia ada di samping membuka ruang kepada model perkhidmatan baharu yang lebih mampan.

Persidangan turut disokong oleh beberapa rakan teknologi utama termasuk Rohde & Schwarz Malaysia Sdn. Bhd., Xiaomi Technologies (M) Sdn. Bhd., Qualcomm Technologies, Inc., Harmonic Inc., Spacelabs Technology Sdn. Bhd. serta Cedar Broadcast & Communications (M) Sdn. Bhd. Kerjasama ini membolehkan demonstrasi langsung dijalankan bagi memperlihatkan kebolehlaksanaan sebenar teknologi 5G Broadcast dalam konteks Malaysia.

Selain pameran dan simulasi, sesi pembentangan pakar tempatan serta antarabangsa turut diadakan bagi berkongsi pandangan tentang trend global, cabaran pelaksanaan, dan strategi dasar untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi penyiaran baharu.

Menurut MCMC, platform seperti ini penting bagi merapatkan kerjasama antara industri, kerajaan dan akademia dalam membentuk ekosistem penyiaran digital negara yang lebih futuristik.

Malaysia kini muncul sebagai antara peneraju rantau ASEAN dalam penerokaan teknologi 5G Broadcast menerusi siri kajian dan pengujian menyeluruh, sekali gus memperlihatkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memacu kemajuan teknologi penyiaran negara di masa depan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat