Kempen kata kesat, lucah bukan amalan politik Pahang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kaedah berkempen menggunakan perkataan kesat dan lucah bukanlah amalan dan budaya politik di negeri Pahang.

Menurut Ketua Penerangan Umno Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal berkata budaya menggunakan perkataan tidak sopan ini dikhuatiri menjejaskan keamanan di kawasan dan negeri ini.

“Saya sangat kesal dengan kenyataan Menteri Besar Kedah dalam ceramahnya di Felda Kemasul dua hari lepas yang mengeluarkan kata-kata kesat dalam ceramah tersebut.

“Ini bukan budaya dan amalan di Pahang. Ini bukan cara kita di Pahang. Kita hidup dalam rukun, aman dan harmoni selama ini.

“Kita tak nak budaya-budaya seperti ini diikuti atau mempengaruhi masyarakat di sini khususnya anak-anak muda. Jadi berkempenlah secara sihat,” katanya lapor Pahang Media.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke gelanggang futsal dan liga sepakan penalti di Padang SK Shafie semalam.

Beliau turut menggesa pihak luar yang datang berkempen di Pelangai sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk tidak melagakan masyarakat di kawasan ini.

“Jadi saya menggesa pihak luar, pemimpin-pemimpin luar yang datang berkempen di Pelangai sempena PRK ini janganlah mengeluarkan kenyataan-kenyataan begitu, mengeluarkan kata-kata kesat, janganlah menabur dan menanam kebencian kepada pemimpin-pemimpin kita. Dan jangan melagakan masyarakat di Pelangai ini.

“Kalau pun nak menambat hati pengundi, bukan dengan kata-kata yang menghasut, kata-kata kesat, memaki-hamun, menanam kebencian.

“Sebab nanti mereka ini akan pulang ke kawasan masing-masing selepas hari pengundian nanti, apa jadi dengan masyarakat di sini?,” katanya.

Beliau meminta semua pihak supaya menjaga keharmonian di dalam masyarakat dengan tidak membawa budaya politik sedemikian di negeri ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat