Malaysia Sokong Deklarasi Bucharest Berhubung Pembinaan Masa Depan Digital – Annuar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia secara prinsipnya menyokong aspirasi Deklarasi Bucharest berkaitan ‘Pembinaan Masa Depan Digital Yang Lebih Baik Untuk Semua’ sekali gus mengesahkan komitmen kolektif negara terhadap ketersambungan sejagat dan transformasi digital yang mampan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata telah menjadi keutamaan Malaysia untuk mempercepat penggunaan rangkaian yang mantap dan menyediakan negara bagi peralihan kepada ekonomi digital dan bagi mencapainya, telah mengisytiharkan komunikasi sebagai utiliti, sama seperti air dan elektrik.

“Kita juga telah melancarkan agenda nasional peringkat tinggi din bawah Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia Digital (MyDIGITAL) dan Jalinan Digital Nasional (JENDELA) bagi memastikan liputan dan kualiti jalur lebar untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi, berteraskan digital dan peneraju serantau dalam ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi Meja Bulat Menteri di Persidangan Plenipotensiari Telekomunikasi Antarabangsa 2022 (ITU PP22) di Bucharest, Romania.

Bagaimanapun, Annuar berkata dalam memastikan akses sejagat serta penggunaan telekomunikasi dan ICT yang saksama serta inklusif ke arah transformasi digital untuk memperkasa rakyat, akses serta penggunaan digitalisasi bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terutamanya di negara membangun perlu ditangani.

“Oleh itu, sebahagian besar transformasi digital di Malaysia membabitkan penggunaan e-dagang dan digitalisasi yang aktif oleh PMKS kita. Ekonomi digital adalah komponen utama kekuatan ekonomi Malaysia,” katanya.

Ketika ini, ekonomi digital menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan dijangka mencecah 25.5 peratus menjelang tahun 2025.

Annuar berkata bagi memacu sumbangan ekonomi digital, kerajaan telah memperkenal Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang (NESR) 2.0 untuk memudah cara peluang digital rentas sempadan yang mengutamakan penglibatan perniagaan tempatan dan PMKS dalam e-Dagang, yang menyasarkan 875,000 PMKS yang menggunakan e-Dagang menjelang 2025.

“Malaysia berpandangan bahawa ketersambungan sejagat dan transformasi digital mampan melangkaui pelaksanaan pembolehan infrastruktur serta teknologi.

“Kami komited untuk bekerjasama ke arah merealisasikan lima komitmen dan 10 prinsip utama yang digariskan dalam Deklarasi Bucharest berkaitan Pembinaan Masa Depan Digital Yang Lebih Baik Untuk Semua,” katanya.

Beliau mengetuai delegasi Malaysia ke ITU PP22 di Bucharest, Romania yang bermula esok hingga 14 Okt.

ITU PP22, yang menyaksikan penyertaan 181 negara, adalah amat istimewa dan signifikan bagi negara kerana Malaysia akan melobi untuk menduduki kerusi dalam Majlis ITU di bawah Wilayah E (Asia dan Australasia) bagi penggal 2023-2026. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat