KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) hari ini sudah jadi alat negosiasi supaya seseorang terus kekal jadi Perdana Menteri.
Sebagai Pengasas kepada Petronas bahkan pernah dilantik sebagai Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif oleh Tun Abdul Razak, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Hamzah melahirkan kekecewaan sekali gus menyedarkan betapa jauhnya Malaysia telah menyimpang daripada visi asal Petronas.
Tokoh politik veteran lebih mesra disapa Ku Li memberitahu perkara itu kepada bekas Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Abdul Halim Husin.
Dalam catatan Facebooknya, Abdul Halim berkongsi tulisan berkait pendedahan dan pengkisahan Ku Li berhubung visi Petronas dan apa yang telah dan gagal dicapainya.
“Hari ini, tuntutan negeri kembali hangat. Petros (Petroleum Sarawak Berhad) menuntut penguasaan lebih besar dalam operasi minyak dan gas. Ada suara mengatakan Petros mahu mengambil sebahagian fungsi Petronas.
“Saya bertanya pandangan Tengku, beliau menjawab tegas “Petroleum Act itu undang-undang negara. Ia lebih besar daripada mana-mana negeri.
“Ujarnya, kalau dilaksanakan dengan betul, tiada siapa boleh ambil alih Petronas.
“Namun, katanya, isu sebenar bukan siapa urus, tetapi bagaimana hasil diurus,” jelas Halim mengutip kata-kata Ku Li.
Masih berkisar Petronas, Tengku Razaleigh memberitahu lagi, meskipun sudah terlambat tetapi Malaysia masih ada peluang untuk mula semula dengan menubuhkan tabung buat rakyat memandangkan negara ini masih ada sumber minyak, nadir bumi, sawit, dan pendapatan strategik lain.
Menurut pengasas Petronas itu, jika ditubuhkan tabung hari ini, sebuah dana kekayaan negara boleh menjamin kesihatan dan pendidikan percuma generasi akan datang walaupun bukan RM7 juta seorang, mungkin RM500,000 seorang dalam 30 tahun.
Halim memberitahu, sebelum Tengku Razaleigh tinggalkan Petronas, beliau pernah cadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu tabung untuk rakyat Malaysia.
Jelas beliau, tabung ini menjamin pendidikan percuma dan kesihatan percuma, dari lahir sampai umur 100 tahun.
“Kalau kita buat masa itu, hari ini setiap rakyat Malaysia ada RM7 juta. RM7 juta seorang. Tapi sayang… ia tidak dibuat.
“Bayangkan RM7 juta untuk setiap rakyat Malaysia. Bukan dalam bentuk wang tunai diberi percuma, tetapi jaminan untuk pendidikan dan kesihatan seumur hidup, tanpa hutang PTPTN, tanpa kos perubatan yang menjerat,” bongkar Tengku Razaleigh tentang Petronas dan peluang yang dilepaskan untuk kesenangan rakyat.
Hantaran media sosial Halim menulis – RM7 Juta seorang: Visi Tengku Razaleigh yang tidak kesampaian- “kalau kita buat masa itu, hari ini setiap rakyat Malaysia ada RM7 juta… RM7 juta seorang”.
“Pada petang 23 Ogos 2025, saya duduk di ruang tamu kediaman Tengku Razaleigh Hamzah, tokoh yang sering digelar Bapa Petronas. Rumahnya sederhana, tetapi sejarah yang dibawanya sangat besar. Hari itu, perjumpaan kami bersama Alumni Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berlangsung santai, sehinggalah saya mengajukan satu soalan yang membawa kepada jawapan yang mengejutkan saya.
“Apa pandangan personal Tengku tentang hubungan Petronas dengan Petros sekarang? – Beliau tersenyum nipis, kemudian menjawab dengan tenang tetapi penuh makna -“ramai orang lupa Petronas ini tidak lahir dengan mudah. Saya berbincang dengan Tun Abdul Rahman Ya’kub, Ketua Menteri Sarawak waktu itu. Kami sepakat, hasil minyak adalah milik negara, bukan hanya negeri.
“Sebab itu kita buat Petroleum Development Act 1974,” beritahu Ku Li kepadanya.
Pendedahan itu membongkar kepada kisah RM7 juta yang hilang, kata Halim kemudian, nada Tengku berubah menjadi serius. Beliau merenung jauh sebelum mengucapkan kata-kata yang saya tidak akan lupakan.
“(Kata Tengku Razaleigh) “Sebelum beliau tinggalkan Petronas, saya cadangkan supaya kita wujudkan satu tabung untuk rakyat Malaysia. Tabung ini menjamin pendidikan percuma dan kesihatan percuma, dari lahir sampai umur 100 tahun. Kalau kita buat masa itu, hari ini setiap rakyat Malaysia ada RM7 juta. RM7 juta seorang, Halim. Tapi sayang… ia tidak dibuat.”
“Bayangkan RM7 juta untuk setiap rakyat Malaysia. Bukan dalam bentuk wang tunai diberi percuma, tetapi jaminan untuk pendidikan dan kesihatan seumur hidup, tanpa hutang PTPTN, tanpa kos perubatan yang menjerat,” katanya.
Tambah beliau lagi, jika Malaysia mencontohi Norway- Mereka mula Government Pension Fund Global pada 1990 (16 tahun selepas Petronas ditubuhkan) dan hari ini dana Norway bernilai USD 1.4 trilion (lebih RM6.5 trilion) untuk hanya 5.5 juta rakyat.
Justeru hasilnya, setiap rakyat Norway memiliki lebih RM1 juta aset negara.
“Malaysia pula telah mengutip hasil petroleum bernilai ratusan bilion ringgit sejak 1974. Jika sebahagian (contohnya 30 peratus) disimpan dan dilaburkan, dana kita hari ini mungkin mencapai RM6-8 trilion, cukup untuk RM7 juta setiap rakyat.
“Kenapa kita gagal? Jawapan mudah: politik jangka pendek, tadbir urus lemah, dan ketirisan.
“Kata Tengku Razaleigh era 70-an memang perlukan pembangunan segera, tetapi itu tidak menafikan pentingnya tabung masa depan. Kepentingan politik mengatasi strategi negara. Kata Tengku sendiri, Petronas kini dijadikan alat tawar-menawar kuasa.
“Tiada keberanian untuk menubuhkan dana bebas politik, seperti Norway lakukan,” katanya.
Ditanya adakah Malaysia masih memiliki sekelumit harapan untuk melaksana inspirasi dari Norway?
Katanya, Tengku Razeleigh memberitahu, Malaysia memang sudah terlewat, tetapi tidak bermakna kita tidak boleh bermula semula.
“Malaysia masih ada sumber minyak, nadir bumi, sawit, dan pendapatan strategik lain. Jika ditubuhkan hari ini, sebuah dana kekayaan negara boleh menjamin kesihatan dan pendidikan percuma generasi akan datang walaupun bukan RM7 juta seorang, mungkin RM500,000 seorang dalam 30 tahun.
“Jika dana dimulakan 1974 hasil petroleum kumulatif: ±RM1.6 trilion; jika 30 peratus disimpan & dilabur → RM6-8 trilion dengan populasi 34 juta → RM7 juta seorang
“Norway (2025)- Dana: USD 1.4 trilion dengan populasi: 5.5 juta manakala aset per kapita: ±RM1 juta,” katanya.
Menurut beliau, visi RM7 juta seorang mungkin tinggal kenangan, tetapi inspirasi daripadanya harus menjadi pemangkin.
“Malaysia memerlukan keberanian politik untuk menubuhkan dana kekayaan negara yang bebas daripada pengaruh politik.
“Jika tidak, kita akan terus mengulang kesilapan negara kaya hasil, rakyat miskin peluang,” kata Halim sambil memberitahu beliau menulis artikel ini kerana percaya rakyat Malaysia berhak tahu bahawa peluang untuk masa depan cerah pernah wujud tetapi terlepas kerana kegagalan kepimpinan



