Hadir program PN, Umno akan keluar surat tunjuk sebab kepada ADUN Rembia – Asyraf

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis, perlu memberikan penjelasan kepada Umno berhubung tindakannya menyertai program anjuran Perikatan Nasional (PN) di Johor kelmarin.

Menurut Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, surat tunjuk sebab akan diberikan Lembaga Disiplin parti kepada Muhammad Jailani sebelum sebarang keputusan mengenai tindakan sewajarnya dibuat.

Beliau menegaskan, Umno ada proses tersendiri untuk menguruskan isu berkenaan mengikut peruntukan yang ditetapkan.

“Kita ada proses (untuk menguruskan isu ini) dan akan keluarkan surat tunjuk sebab terlebih dahulu kepada beliau.

“Seterusnya beliau akan diminta menjawab surat tunjuk sebab berkenaan, sebelum sebarang tindakan lanjut dimuktamadkan.

“Surat berkenaan belum dikeluarkan setakat ini, kerana kita baru terima laporan mengenai kejadian ini semalam dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” lapor BH.

Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik berkata, pihaknya ada menerima laporan berkaitan penyertaan Muhammad Jailani yang juga Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka dalam program anjuran PN, selain memaklumkan akan melakukan sesuatu.

Ia susulan tindakan ADUN Melaka itu yang dilihat menyertai Majlis Pengumuman Calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bakri, Johor.

Muhammad Jailani ketika mengulas isu berkenaan, mempertahan tindakannya dengan menegaskan kehadiran beliau di majlis terbabit bukan atas kapasiti sebagai ADUN Umno.

Sebaliknya, berkata beliau hadir sebagai mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Muafakat Nasional (MN) yang diterajui bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.

Difahamkan, kemunculan bersama PN kelmarin bukan yang pertama kerana Muhammad Jailani sebelum ini turut dilihat menyertai penyokong PAS diketuai Annuar ketika proses penamaan calon di Ketereh, Kelantan pada 28 Julai lalu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat