Konsert Malayneum 23, Butterfingers bakal gamit nostalgia 2 dekad

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Butterfingers bakal membawa peminat menyusuri kembali, imbauan nostalgia kegemilangan kemuncak muzik mereka era album ke-4 Malayneum menerusi ‘Konsert Malayneum 23’ di Stadium Malawati, Shah Alam pada 7 Oktober tahun ini.

Teraju utama kumpulan ini, LoQue atau Khairil Ridzwan Annuar berkata, idea ini sudah lama tersimpan selepas kejayaan ‘Konsert Transcendence 20’, namun terbantut akibat pandemik.

“Selepas kejayaan Konsert Transcendence 20 Tahun di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2 November tahun 2019 sejurus sebelum pandemik Covid-19, tahun ini 2023 ini dilihat ‘cuaca’ yang agak baik untuk kami laksanakannya.

“Butterfingers percaya semua pendengar dan pengikut kultus kami sentiasa dahagakan persembahan kami secara ‘live’.

“Kami juga percaya, tindak balas kimia yang kami salurkan apabila kami berempat berentap bersama di atas pentas sejak pasca Transcendence 20 bakal menggamit nostalgia serta mengukir memori baru baik kepada penonton juga kepada kami ahli kumpulan,” jelasnya.

Apabila ditanya apa tujuan utama Konsert Malayneum 23 ini diadakan, jelasnya ini adalah kerana Butterfingers pada tahun 2001 ketika itu sedang ligat menghasilkan album demi album sejak album pertama iaitu 1.2 Milligrams.

Ketika album ke-3 Butterfingers Transcendence belum selesai menempa nama di arus perdana, tanpa melengahkan masa Butterfingers terus telah mengeluarkan album ke-4 iaitu Malayneum dengan bunyi-bunyian yang lain dari album-album sebelumnya.

“Dari perspektif syarikat rakaman, album ini telah dikira sebagai ‘bunuh diri secara komersial’ kerana kami (Butterfingers) telah pusing 180 darjah bunyi-bunyian kami untuk lari dari bunyi-bunyian album Transcendence sebelum itu.

“Oleh kerana album Malayneum ini dilihat sebagai janggal dan aneh dari album-album sebelumnya, juga atas beberapa faktor lain yang tak dapat dielakkan, maka kami tidak sempat untuk meraikan album ini secara sepenuhnya ketika itu. ‘Tour’ (kembara) Malayneum tidak dapat diraikan sepenuhnya maka telah dipendekkan.

“Oleh itu, album ini dianggap ‘setengah masak’ kerana kami tidak dapat bermain ‘live’ lagu-lagu dari album Malayneum secara menyeluruh,” katanya.

Konsert Malayneum 23 ini bakal menyaksikan lagu-lagu dari album Malayneum antaranya, akan dimainkan dalam perspektif yang berbeza di era yang berbeza untuk penonton yang hadir.

Atas permintaan ramai, Emmett yang bakal tampil bermain gitar semula itu berharap dapat memberikan satu persembahan yang boleh diingati serta luar biasa.

“Yang paling penting adalah untuk saya sendiri merasa puas yang betul-betul puas, ini kerana jika diri saya dapat rasai kepuasan tersebut, maka sudah pasti anda semua yang hadir tentu akan lebih puas, sepuas-puasnya.

“Malayneum adalah satu album ‘underrated’ yang lahir sebelum kami memasuki ‘era hibernasi peti ais’ (hiatus) dan seluruh ahli kumpulan tidak dapat berpeluang meraikannya dengan secukupnya.

“Kebanyakan lagu-lagu dalam album ini juga kesemuanya jarang dimainkan di atas pentas dan ada yang langsung tidak pernah dipersembahkan.

“Album ini datang dengan bunyi-bunyian yang tidak ‘grunge’ seperti kebanyakan album yang kami ada,” katanya.

Untuk makluman, tiket konsert sudah mula dijual, Zon tempat duduk mula dijual dengan harga bermula RM99 (Ginseng), RM135 (Suddenly), RM199 (Pacific) dan RM249 (Mating Season).

Manakala untuk zon berdiri, harga tiket boleh didapati pada harga RM169 (Malayneum) sahaja.

Serta tambahan tempat duduk utama dengan harga bermula RM499 (Malayneum Deluxe) untuk pembeli bergambar bersama (meet & greet) dan memiliki barangan rasmi (official merchandise).

Segala urusan pembelian tiket adalah menerusi www.ticket2u.com.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat