Tidak Benar Dakwaan 660 Hektar Hutan Simpan Hulu Jelai Dinyahwarta – MB Pahang

- Advertisement -

KUANTAN- Dakwaan kononnya kawasan seluas 660 hektar dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Hulu Jelai di Lipis akan dinyahwarta bagi perlombongan nadir bumi Lanthanide adalah tidak benar selain negara tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) perlombongan berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata SOP perlombongan nadir bumi masih di peringkat cadangan penggubalan berdasarkan makluman Kementerian Tenaga dan Sumber Asli kepada Majlis Mineral Negara pada 16 Feb lepas.

“Yang sebenarnya, permohonan untuk melombong nadir bumi di kawasan berkenaan belum didaftarkan lagi sebagai pajakan melombong (ML), oleh itu soal penyahwartaan ini tidak timbul. Selain ML, terdapat juga keperluan seterusnya perlu dipenuhi.

“Pihak terlibat mestilah memperoleh kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar dan sijil Skim Pengendalian Melombong (OMS) oleh Jabatan Mineral dan Geosains,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Mengulas mengenai cadangan Lee Chin Chen (DAP-Bilut) supaya diwujudkan satu tabung khas untuk membantu urusan pengebumian mangsa COVID-19, Wan Rosdy berkata Tabung Pengurusan Kematian COVID-19 Negeri telah ditubuhkan bagi membolehkan orang ramai atau syarikat membuat sumbangan.

Waris sama ada Islam mahupun bukan Islam, menurut beliau boleh membuat tuntutan maksimum RM2,000 terus daripada Pejabat Daerah dan Tanah dengan garis panduan bagi pelaksanaan inisiatif itu masih di peringkat penyediaan.

Berhubung program vaksinasi di Pahang, Wan Rosdy berkata ia berada di landasan betul untuk negeri ini mencapai imuniti kelompok sebelum menjelang musim tengkujuh, jika agihan vaksin sebanyak 1.3 juta dos yang dijadualkan diterima secara berperingkat pada Ogos, September dan Oktober berjalan lancar.

“Dalam masa sama, kerajaan negeri sedang menggerakkan usaha mengenal pasti bilangan sebenar penduduk dewasa berumur 18 tahun ke atas termasuk golongan warga asing dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

“Berdasarkan maklumat tambahan penduduk ini, kerajaan negeri akan membuat pertimbangan untuk permohonan bekalan vaksin tambahan sekiranya perlu,” katanya.

Persidangan bersambung pada tarikh ditentukan kelak. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat