PADANG TERAP – Polis Kedah menasihati sukarelawan yang mempunyai gejala awal Covid-19 supaya tidak memasuki kawasan bencana kepala air di Yan bagi mengelak berlakunya penularan pandemik itu.
Ketua Polisnya, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka sebaliknya diminta menjalani kuarantin kendiri terlebih dahulu sehingga benar-benar sihat untuk membantu orang lain.
Beliau turut mengingatkan sukarelawan supaya melapor kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) sekiranya ingin menghantar bantuan kepada mangsa banjir berkenaan.
“Ini bagi mengelak kesesakan berlaku di kawasan itu sehingga menyebabkan jalan menjadi sempit.
“Selain itu kita tak mahu ramai sangat berada di daerah berkenaan yang boleh mengundang “kluster Yan”, apatah lagi beberapa kawasan di daerah itu berada di Zon Merah Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan bantuan Op Bantu kepada penduduk kampung di sekitar daerah ini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari dan Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar selain Pengurus Besar TM Kedah dan Perlis, Yusof Omar yang turut menyampaikan bantuan.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, seramai 430 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Titi Hayun disahkan negatif Covid-19.
Katanya, keputusan diperoleh selepas mereka menjalani ujian calitan kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebaik selesai operasi itu, Isnin lalu.
“Alhamdulillah, kesemua mereka negatif dan orang ramai tidak perlu bimbang kononnya berlaku penularan jangkitan dalam kalangan pasukan penyelamat yang terbabit operasi di Yan,” katanya.
Terdahulu, dalam program bantuan itu, seramai 200 penduduk menerima kotak barang keperluan dan keseluruhan 4,000 keluarga di Kedah menerima manfaat sama sejak awal Julai lalu. – Hmetro