Kuala Lumpur – PAS tidak pernah rugi dalam menjalinkan kerjasama politik sejak dahulu dan berharap kerjasama parti itu dalam Muafakat Nasional dapat memberikan manfaat kepada rakyat dan negara.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sejak 1950-an, Pas bekerjasama dengan Parti Negara dan parti berkenaan berjaya menawan Terengganu terlebih dahulu dan kemudiannya negeri Kelantan.
“Di Terengganu (PAS) kerjasama dengan Parti Negara, PAS dapat 15 kerusi, Parti Negara dapat empat kerusi dan UMNO dapat enam kerusi. Pas beri kerusi Parlimen Kuala Terengganu Selatan kepada Datuk Onn Jaafar (Parti Negara).
“Datuk Onn kalah bertanding di Johor, jadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu Selatan. PAS bagi kepada Datuk Onn, PAS tidak rugi. PAS menyelamatkan tokoh negara yang besar.
“Datuk Onn jadi ahli Parlimen sehingga meninggal dunia. Pengundi Johor tak terima dia, PAS terima dia. PAS tak rugi walaupun (calon pilihan raya) bukan daripada parti kita, yang penting pimpinan orang Melayu.
“Kemudian kerjasama selepas 13 Mei. Pada 1973, Pas sertai kerajaan campuran dan kita berjaya membangkitkan kefahaman Islam di semua institusi, di semua lapangan rakyat,” katanya menerusi video wawancara pendek dimuat naik menerusi akaun Twitternya hari ini.