KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek diharap bertegas tentang garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang melarang penglibatan mana-mana syarikat arak dalam program sekolah.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal malah berharap Fadhlina dan KPM tidak akan membuat keputusan U-turn hanya semata-mata memenuhi kehendak beberapa pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.
“Anthony Loke perlu kembali kepada asas kompas moral iaitu kanak-kanak tidak sepatutnya didedahkan dengan jenama arak seawal usia mereka, apatah lagi di dalam sekolah.
“Ini bukan soal kaum atau sekolah jenis kebangsaan, ini soal untuk melindungi generasi masa hadapan kita daripada ancaman bahayanya arak dan kesan negatifnya kepada kehidupan.
“Menormalisasikan kanak-kanak kepada arak pada usia muda amat mendukacitakan dan bukan lah langkah terbaik untuk generasi pelapis kita.
“Jadi, Saya berharap Menteri Pendidikan akan bertegas mengenai perkara ini dan tidak akan membuat keputusan U-turn hanya semata-mata memenuhi kehendak beberapa pihak yang mempunyai kepentingan tertentu,” tegas beliau.
Ketua Armada Bersatu itu juga menyeru penglibatan daripada syarikat korporat lain untuk membantu sekolah vernakular bagi mendapatkan dana tambahan untuk pengoperasian sekolah mereka.
“Ini dapat mengelakkan penglibatan syarikat arak dalam aktiviti sekolah,” katanya.