KUALA LUMPUR- Bersatu akan menjadi parti yang paling gerun dan risau jika benar wujudnya perbincangan antara Umno serta PAS untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Jurucakap kerajaan yang juga Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata Bersatu adalah liabiliti kepada Perikatan Nasional (PN) dan PAS.
Bagaimanapun, Fahmi berkata beliau difahamkan perbincangan ke arah itu tidak berlaku seperti mana yang dinyatakan oleh pemimpin Umno.
“Saya rasa sebenarnya yang berasa gerun adalah Bersatu.
“Bersatu pasti sangat bimbang kerana mereka adalah liabiliti kepada PN dan PAS,” katanya pada sidang media pasca Kabinet, semalam, lapor BH di Putrajaya.
Malah, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, dalam konteks Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, wujud permintaan daripada ahli PAS untuk menghantar wakil parti itu sebagai calon walaupun ia adalah kerusi Bersatu.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, mendedahkan wujudnya beberapa siri pertemuan bersama pemimpin utama Umno untuk membincangkan kerjasama bagi menghadapi PRU16.
Fadhli dilaporkan berkata, pertemuan itu bagaimanapun dibuat secara tidak rasmi dengan pemimpin Umno yang tidak didedahkan.
Susulan itu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa tiada pertemuan atau perbincangan rasmi antara parti itu dengan PAS.
Timbalan Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, beliau juga secara peribadi tidak bertemu dengan mana-mana pemimpin parti terbabit.