MOSCOW: Rusia menolak dakwaan Amerika Syarikat dan sekutunya bahawa negara itu telah menguji senjata anti-satelit di angkasa dan menganggapnya sebagai “propaganda”.
Tindak balas Moscow ini setelah Pusat Pemerintahan Angkasa AS pada hari Khamis menuduh Rusia menembak senjata anti-satelit di angkasa dan memberi amaran bahawa ancaman terhadap sistem satelit AS adalah “nyata, serius dan meningkat”.
Ketua Direktorat Angkasa Britain pula, Naib Marsyal Udara Harvey Smyth Dalam reaksinya di Twitter berkata bahawa “tindakan Rusia ini mengancam penggunaan ruang angkasa secara aman”.
Kementerian luar Rusia menegaskan komitmen “Moscow terhadap kewajiban penggunaan dan kajian angkasa tanpa maksud lain selain dari tujuan keamananan”.
“Kami meminta rakan-rakan kami dari AS dan Britain untuk menunjukkan profesionalisme serta berbincang (sebelum membuat apa-apa kenyataan) dan bukannya melakukan serangan maklumat propaganda” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada hari Jumaat.
AS mendakwa bahawa Rusia menjalankan “ujian tidak membinasakan, melibatkan senjata anti-satelit di angkasa lepas”.
“Jelas ini tidak dapat diterima,” tweet perunding pelucutan senjata nuklear AS, Marshall Billingslea, sambil menambah bahawa ia akan menjadi “isu besar” yang dibincangkan dalam persidangan mengenai pengganti ikatan START minggu depan di Vienna,
START ialah perjanjian sewaktu era perang dingin yang menghalang Amerika Syarikat dan Rusia dari meletakkan kepala peledak nuklear masing-masing di angkasa lepas.
Kementerian luar Rusia mengatakan bahawa ujian yang dilakukan oleh kementerian pertahanan negara itu pada 15 Julai “tidak menimbulkan ancaman untuk peralatan angkasa negara lain dan yang paling penting, tidak melanggar norma atau prinsip undang-undang antarabangsa” – Al Jazeera