KUALA LUMPUR – Laporan hasil penyelidikan yang dibuat oleh Merdeka Center merekodkan sebanyak 55 peratus sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tanda dan bukti data aspirasi politik perubahan rakyat.
Naib Ketua Wanita PKR Rozana Zainal Abidin berkata, itu adalah politik perubahan yang diperjuangkan selama ini meliputi segenap aspek kehidupan masyarakat tidak kira orang besar ataupun orang kecil malahan bukan sekadar slogan mahupun pidato semata-mata.
“Jika selama ini, rakyat dihidangkan dengan pidato politik oleh Anwar Ibrahim tetapi kini kita menyaksikan bukti tanda Anwar Ibrahim bekerja yakni Madani Bekerja,” tegas Rozana dalam kenyataan pada Rabu.
Justeru beliau menyeru semua berganding bahu terus menyokong dan mendukung kepimpinan Perdana Menteri dalam menerajui kerajaan Malaysia.
“Pasca PRU-15, rakyat Malaysia beruntung mendapat seorang sosok Perdana Menteri yang sepanjang kehidupannya telah diuji dan terbukti ketabahannya yang penuh onak dan duri.
“Bak kata Hamka, seorang pemimpin bukan hadir dalam bilik kuliah tetapi lahir dari kancah pergelutan dalam kehidupan masyarakat.
“Aspirasi rakyat adalah tegaknya prinsip kebebasan dan keadilan, suburnya nilai-nilai moral seperti amanah dan terjaminnya keselamatan serta terlaksananya pemerintahan rule of law yang berintegriti.
“Kita yakin dan percaya kepemimpinan Malaysia Madani memberikan kesejahteraan sosial masyarakat secara inklusif dan menyeluruh,” katanya.
Tinjauan oleh Merdeka Center mendapati majoriti pengundi Malaysia memberikan penarafan positif sebanyak 55 peratus kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun ini berbanding 43 peratus pada Jun 2024.
Organisasi bebas itu, yang memfokus kepada penyelidikan pendapat umum dan analisis sosioekonomi, memaklumkan tinjauan ke atas 1,208 pengundi berdaftar menunjukkan rakyat Malaysia mula merasakan bahawa negara kini semakin stabil dengan ketidakstabilan politik kian mereda dan Anwar memimpin kerajaan dengan majoriti dua pertiga di Parlimen.