KUALA LUMPUR – Pendirian Umno berhubung penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat pro-Israel, BlackRock dipertikai sama ada jelas atau tidak.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, kerana isu BlackRock dua top gun Umno semakin berantakan.
“Tidak sampai 24jam kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berani bersuara membantah BlackRock, terus disanggah Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu senada dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apa sudah terjadi?
“Sekarang ini rakyat apatah lagi akar umbi parti Umno semakin keliru. Pendirian Umno ini jelas atau tidak?
“Tidak mengapalah, paling penting Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) berpendirian sangat jelas,” tegas Razali.
Semalam Presiden Umno, Zahid berkata, Umno memiliki pendirian sama dengan Perdana Menteri, dalam penjualan sebahagian saham MAHB kepada syarikat pro-Israel, BlackRock.
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kenyataan timbalan Presiden Umno, Datuk Mohamad Hasan yang membantah penjualan sebahagian saham itu adalah pandangan peribadi beliau dan tidak mewakili parti itu.
Dalam pada Razali turut mengingatkan kerajaan pimpinan Anwar sewajibnya menolak terus pemberian sebahagian saham MAHB.
“Sangat pelik syarikat yang mencipta keuntungan, tiba-tiba dipelawa untuk memiliki saham, pelik tak?
“Kalau di pasaran terbuka di Bursa Saham, semua memahami dan mengetahuinya.
“Soalnya kepentingan MAHB adalah sangat strategik, pintu utama negara serta berprofil tinggi dari aspek keselamatan.
“Apakah tiada cara terbaik untuk membuat keuntungan lain? soal beliau.